Oleh : Nur Asyikin Ismail
Tanjong Malim: Taska dan Tadika di Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC) UPSI bukan hanya menjadi penanda aras bagi Permata Q taska dan rujukan Tadika di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia, tetapi juga rujukan tempat bagi agensi di luar negara. Konsep pendidikan berteraskan pendekatan projek berdasarkan kurikulum PAKK di Malaysia sering mendapat kerjasama dan perundingan bagi agensi kerajaan dan swasta.
Beberapa orang wakil pengurusan tertinggi Universitas Muhammadiyah Kupang Nusa Tenggara Timur Indonesia hadir ke UPSI antaranya Prof. Dr. Zainur Wula (rektor) dan pensyarah bagi perbincangan kerjasama dan juga penanda aras bersama NCDRC. Antara tujuan lawatan mereka adalah untuk melihat pengoperasian Taska dan Tadika di NCDRC sehingga menjadi rujukan terbaik di Malaysia dan antarabangsa.
Ketibaan delegasi lawatan diiringi oleh Prof. Madya Dr. Mazlina Che Mustafa, Pengarah NCDRC dan Prof. Madya Dr. Norazilawati Abdullah, Timbalan Pengarah NCDRC. Sesi lawatan dimulakan dengan pembentangan Pengarah berkaitan pengoperasian Taska dan Tadika yang menjadi tempat dalam kalangan pelajar UPSI untuk mengikuti program praktikum, penyelidikan dan program komuniti. Delegasi turut berpeluang melawat beberapa bilik pembelajaran dan fasiliti termasuklah persekitaran luar NCDRC.
Delegasi juga dapat melihat secara langsung pelaksanaan pembelajaran di dalam kelas dengan elemen pendekatan projek. Delegasi turut berpeluang bersuai kenal bersama guru dan kanak-kanak bagi mengetahui dengan lebih dekat pelaksanaan pembelajaran yang sangat menarik.
Dalam pada usaha menjadikan NCDRC sebagai penanda aras terbaik di Malaysia dan luar negara, kerjasama dengan Universitas Muhammadiyah Kupang Nusa Tenggara Timur Indonesia amat diharapkan.
Menurut pengarah NCDRC, Prof. Madya Dr. Mazlina berkata beliau menyambut baik cadangan untuk perkongsian dan pertukaran kakitangan NCDRC dengan UMK bagi perkongsian kepakaran.
Sementara itu, Timbalan Pengarah NCDRC, Prof. Madya Dr. Norazilawati mencadangkan kerjasama antara dua universiti ini boleh di eratkan dengan mengadakan penyelidikan secara geran sepadan.
“Ini dapat membuka jaringan kerjasama dari segi mobiliti pensyarah dan guru dari pengajaran, penerbitan, penyelidikan dan perundingan di antara Malaysia dan Indonesia”, katanya.