Oleh: Mohd. Fahmi Mohd. Yunus (Puskeb)
Kuala Lumpur – Pusat Kebudayaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terlibat secara langsung dalam mengurus dan menjayakan majlis Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) ke-37 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang berlangsung pada 12 Julai lalu di Dewan Usman Awang, Rumah PENA.
Pertandingan anjuran Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dengan kerjasama Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA), Dewan Bahasa dan Pustaka serta Pusat Kebudayaan UPSI itu mempertandingkan 17 peserta yang terdiri daripada warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dari pelbagai latar pengalaman dalam deklamasi puisi.
Pengarah Pusat Kebudayaan UPSI, Dr. Norzuraina Mohd Nor selaku pengarah program berkata penganjuran pada kali ini mengangkat hasil karya antologi puisi Ke Sarang Cenderawasih yang dijadikan sebagai syarat wajib untuk pemilihan sajak dalam pertandingan tersebut.
Beliau berkata Pusat Kebudayaan UPSI menampilkan persembahan selingan nyanyian oleh Nur Syahera Punawi diiringi petikan gitar oleh Mohd Fahmi Mohd Yunus yang menyampaikan lagu “Rendang Tak Berbuah ( Hattan) dan “Aku Anak Kampung” (Jimmy Pelikat).
SDPK kali ini, katanya, yang dirasmikan Sasterawan Negara Datuk Dr. Siti Zainon Ismail menyaksikan kepelbagaian dalam pembawaan karya pilihan peserta dan keunikan yang baru dalam deklamasi puisi. Presiden PENA Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Dr. Hazami Jahari hadir sebagai tetamu jemputan khas.
Dalam pertandingan itu , Muhammad Zamzatur Rahman Yussri yang merangkul tempat pertama berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah RM1000 berserta hadiah iringan. Tempat kedua dimenangi Amirul Aiman Helmi yang meraih hadiah wang tunai RMRM700 dan hadiah iringan, manakala Salmiyati Md. Raud menduduki tempat ketiga dengan hadiah wang tunai RM500 berserta hadiah iringan.
Pemenang tempat pertama SDPK akan mewakili Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya ke pertandingan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan peringkat kebangsaan yang akan berlangsung pada 15 September 2023 di Dewan Bankuet SUK Perak.