20 Ogos, Tanjong Malim – Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) Perak dengan kerjasama Institut Pendidikan Guru (IPG) Ipoh serta Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (FKMT), Universiti Pendidikan Sultan Idris telah mengadakan Program Kembara Merdeka ke Universiti Pendidikan Sultan Idris pada Ahad, 20 Ogos 2023. Program ini melibatkan 35 orang mahasiswa/i IPG Ipoh yang merupakan ahli i-Guru Siswa Perak dan lima orang pegawai pengiring. Mereka telah berkonvoi daripada IPG Ipoh ke Tanjong Malim menaiki sebuah van dan lima buah kereta.  

Program Kembara Merdeka i-Guru Siswa IPG Ipoh ini bertujuan untuk menyuburkan semangat kemerdekaan dan patriotisme di kalangan para peserta.  Di samping itu, i-Guru Perak juga mensasarkan untuk program ini menjadi wadah bagi membina ukhuwwah dan semangat berpasukan dalam kalangan mahasiswa/i yang terlibat.

“Bagi Kembara Merdeka ini, i-Guru Perak memilih UPSI kerana ia sinonim dengan ahli i-Guru Siswa sebagai bakal pendidik juga kerana UPSI kaya dengan sejarah pejuang-pejuang kemerdekaan tanah air”, jelas Encik Mohamad Norza’im bin Ab. Sota, Pengarah Program merangkap Timbalan Presiden i-Guru Kebangsaan.  

YBrs. Al-Fadhil Ustaz Ahmad Tanusi bin Shaaban, Pengerusi i-Guru Perak dan En. Mohamad Norza’im menyampaikan hadiah kepada peserta Program Kembara Merdeka yang terlibat.

Menurut Ts. Dr. Nazre bin Abdul Rashid, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) FKMT, “Fakulti META merasa bangga atas kunjungan i-Guru Siswa daripada IPG Ipoh ini. UPSI adalah tempat yang tepat bagi mereka untuk menghayati kisah perjuangan kemerdekaan tanah air dengan sejarah panjang UPSI itu sendiri dalam melahirkan pejuang-pejuang kemerdekaan. Saya juga berharap i-Guru Perak dapat melebarkan sayapnya ke UPSI bagi memberi peluang kepada pelajar ISMP UPSI menyertai i-Guru”.

Salah seorang peserta iaitu Saudara Ahamd Irfan bin Rosenizam yang merupakan mahasiswa PISMP Bahasa Melayu IPG Ipoh menyatakan, “Saya begitu teruja kerana berpeluang menyertai program Kembara Kemerdekaan anjuran i-Guru Perak ini. Saya juga merasa lebih bersemangat dalam menyambut hari dan bulan kemerdekaan setelah mendapat banyak input berkenaan pejuang-pejuang kemerdekaan tanah air melibatkan pendidik seperti Almarhum Pendeta Za’ba dan Tun Ghafar Baba”.

Di sepanjang Program Kembara Kemerdekaan ini, para peserta telah dibawa melawat kemudahan-kemudahan yang ada di kampus UPSI. Kemuncaknya para peserta telah melawat Muzium Pendidikan Nasional, UPSI di mana mereka melakukan aktiviti eksplorasi dan pemugaran sejarah kemerdekaan negara di situ.

Sesungguhnya usaha murni i-Guru Perak dalam menganjurkan aktiviti yang bermanfaat seperti kembara merdeka ini adalah sangat terpuji demi melahirkan pendidik yang holistik dan berketrampilan.