Oleh: Nurul Aida Mohamed Adam
TANJONG MALIM – Pada 9 Ogos 2023, Program GE TALK Siri 2: Employability Roadmap: Graduates For professional Success Via Linkedin Mastery telah berlangsung dengan sukses melalui platform Cisco Webex dan FB Live EDGE.
Pengarah EDGE, Dr Sharul Effendy Janudin berkata pada siri kali ini pihak EDGE mengambil inisiatif untuk memperkenalkan kepada mahasiswa dan mahasiswi berkaitan manfaat dan kelebihan mempunyai akaun Linkedin.
“Program anjuran Pusat Pembangunan Keusahawanan & Kebolehpasaran Graduan – EDGE UPSI, bekerjasama dengan Rakan Majlis Perwakilan Pelajar (RMPP) sidang 2022/2023 ini adalah bertujuan untuk memberikan pendedahan yang jelas kepada mahasiswa serta graduan yang sedang mencari pekerjaan atau yang ingin merancang perjalanan kerjaya,” katanya.
Program yang dihadiri oleh 182 peserta menampilkan Pengarah Urusan Chirpy Media Sdn Bhd, Encik Mohd Ibrahim Abu Bakar yang berpengalaman dan berkepakaran dalam menguruskan media sosial serta menyelia iklan dan pemasaran.
Beliau juga membantu mempromosikan perkhidmatan dan personal branding di akaun Linkedin sehingga mendatangkan pendapatan melalui Linkedin ini.
Sepanjang dua jam 30 minit program berlangsung, Encik Ibrahim menggunakan kaedah interaksi dua hala bersama pelajar dan membimbing pelajar satu persatu langkah untuk mengemaskini akaun Linkedin pelajar dari segi pemilihan gambar yang sesuai digunakan sebagai gambar profil, pemilihan Header yang sesuai, cara untuk menaikkan bilangan pengikut, serta cara untuk menggunakan AI yang membantu dan memudahkan serta menjimatkan masa yang diperuntukkan untuk mengemaskini akaun.
Pada akhir program ini, Encik Ibrahim berkongsi kepada mahasiswa untuk teruskan aktif di akaun Linkedin supaya pihak majikan akan tertarik untuk menawarkan jawatan kerana peluang pekerjaan sangat tipis dan persaingan yang ketat. Jumlah pencari kerja sudah mencapai 879,601 sejak 31 Disember 2022, malah graduan diingatkan untuk tidak terlalu memilih pekerjaan berikutan peluang yang terbatas.