Oleh: Muhammad Fatkhurrozak Sokhipul Hadi (NCDRC)

Tanjong Malim, 11 Oktober 2023: NCDRC telah menganjurkan Program Superhero Creative Line yang bertempat di perkarangan Bangunan Blok D dan dihadiri oleh 50 kanak-kanak yang terdiri dari bayi sehingga umur 6 tahun.

Kanak-kanak di Taska Tadika NCDRC Blok D tampil gagah dan kreatif seperti superhero yang akan menyelamatkan bumi. Merah, bertopeng dan lengkap dengan aksesori tambahan menarik minat kanak-kanak untuk menunjukkan kehebatan superhero pilihan masing-masing dan tampil bertenaga untuk menjalani aktiviti yang disediakan di sekolah.

Program bertemakan superhero ini adalah bertujuan untuk memberikan galakan dan semangat kanak-kanak untuk seronok belajar di sekolah disamping pendidik menyediakan beberapa aktiviti yang dapat meningkatkan tahap kemahiran kognitif, sosial dan psikomotor kanak-kanak.

Menurut Nurul Husmi Sulaiman selaku penganjur dalam program ini menjelaskan bahawa kanak-kanak perlu diberi kebebasan untuk berkreasi dengan apa yang mereka suka.

“Saya amat yakin bahawa sememangnya kanak-kanak ini hadir ke sekolah dengan idea yang pelbagai. Tinggal pendidiknya sahaja yang perlu mencari dan memberi ruang untuk mereka meluahkan pendapat atau menyediakan tempat untuk mereka bebas menjadi apa yang mereka fikirkan. Selain dari mereka dapat belajar berkomunikasi dengan baik, mereka juga dapat belajar untuk menghargai setiap pendapat dari kawan-kawan sebaya mereka,” katanya.

Wakil guru pelatih NCDRC, Nurul Affika Ramlee menyatakan bahawa dalam perasaan gembira, beliau bersama guru pelatih yang lain juga berasa sedih kerana ini adalah program terakhir sebelum mereka menamatkan tempoh latihan mengajar mereka di NCDRC.

“Ketika program ini diberikan kepada kami untuk kami jalankan, kami merasa bahawa ini seakan farewell party untuk kami jalankan kebahagian bersama dengan kanak-kanak NCDRC. Beberapa bulan di NCDRC membuat kami nyaman dan bahagia menjalani latihan mengajar. Kami berharap bahawa segala ilmu dan pengalaman yang kami dapatkan disini, dapat kami gunakan sebaiknya dan program ini saya anggap sebagai hadiah sebelum kami kembali menjadi mahasiswa setelah ini,” katanya.

Keseronokan dan kemeriahan dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran kanak-kanak adalah sangat perlu kerana disini mereka akan mendapat pengetahuan dan pengalaman baru yang akan memberi kesan panjang dalam hidup mereka.

Sekiranya aktiviti yang dijalankan tidak menarik, sudah pasti suasana pengajaran akan suram dan kanak-kanak cenderung  tidak bersemangat lagi untuk hadir ke sekolah.

Justeru itulah tanggungjawab pendidik untuk menyediakan ruang yang kondusif serta dibantu dengan aktiviti yang menyeronokkan agar kanak-kanak sentiasa aktif dan bersungguh-sungguh dalam mengikuti setiap pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)