Oleh: Azyan Awai & Anizan Md Noor
LANGKAWI: Seramai 22 mahasiswa daripada Sahabat Alumni Mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), persatuan pelajar di bawah kelolaan Pusat Alumni UPSI bersama Alumni Anak Kandung Suluh Budiman (AKSB) telah melakukan pembersihan pantai di Teluk Mempelam, Geoforest Park dan Pantai Cenang pada 29 Julai 2023 yang lalu sempena aktiviti mingguan ‘Idaman Geosite Clean Up’ (IGSC) untuk kali ke-107. Lokasi tersebut merupakan salah satu daripada 99 buah pulau yang berada di Langkawi. Aktiviti ini turut disertai oleh ahli Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).
Program IGSC anjuran LADA ini merupakan satu inisiatif untuk mengurangkan jumlah sampah yang terapung di perairan Langkawi UNESCO Global Geopark sekaligus untuk memelihara dan menghidupkan semula Teluk Mempelam yang sudah lama tidak beroperasi akibat daripada wabak pandemik yang lalu. Program ini juga bertujuan untuk memperindahkan semula kawasan tersebut bagi mengekalkan keindahan dan keselesaan kepada pelancong dan penduduk setempat.
Mahasiswa ini telah menjalankan aktiviti mengutip sampah di sekitar kawasan Pantai Cenang. Mereka dibahagikan kepada lima kumpulan supaya aktiviti dapat dijalankan dengan lebih efisien dan lebih banyak kawasan dapat dibersihkan. Kawasan Pantai Cenang merupakan kawasan pelancongan yang dihadiri ratusan pelancong saban hari dan kebersihan pantai tersebut dijaga oleh pekerja-pekerja pembersihan, tetapi tenaga kerja tersebut tidak mencukupi menyebabkan terdapat banyak sampah sepanjang persisiran pantai tersebut.
Dalam mengajar kecemerlangan akademik, mahasiswa ini juga turut diajar tentang kecemerlangan sahsiah dan jati diri tentang pentingnya menjaga persekitaran yang bersih dan mengekalkan alam semula jadi agar dapat terus dinikmati oleh generasi akan datang.
Besarlah harapan semoga program sebegini dapat memberikan manfaat yang maksima pada mahasiswa SAM sekaligus dapat mencorakkan generasi Anak Kandung Suluh Budiman yang hebat dari segi akademik dan akhlaknya.