Tanjung Malim: Pelajar Ijazah Sarjana Muda Psikologi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Siti Fairuz Rohaliza Ejahar, 24, terharu apabila terpilih sebagai salah seorang peserta untuk mengikuti Program Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun (SSEAYP) 2023).
Siti Fairuz berkata SSEAYP adalah program pertukaran belia tahunan yang dianjurkan oleh Pejabat Kabinet Jepun dan kerajaan negara-negara Asia Tenggara yang bertujuan mempromosikan persahabatan dan saling pengertian di kalangan belia-belia dari sebelas negara-negara Asia Tenggara dan Jepun bagi memperluaskan perspektif mereka terhadap dunia.
“Difahamkan sejak program diwujudkan pada tahun 1974, sudah berpuluh pelayaran antrabangsa yang dihadiri oleh delegasi belia yang dihantar oleh kerajaan negara-negara anggota masing-masing,” katanya.
Siti Fairuz antara pelajar UPSI yang bergiat aktif sepanjang pengajian antaranya menjadi Yang DiPertua Majlis Mahasiswa Kolej Aminuddin Baki 2022/2023, Pengarah Program bagi The Longest Non-Stop Public Speaking Event 2023 (Malaysian Book of Records), Finalis Anugerah Perdana Naib Canselor UPSI 2022, Yang DiPertua Parlimen Mahasiswa UPSI serta Pemenang Anugerah Kepimpinan Sukarelawan Kemanusiaan Universiti 2022.
Siti Fairuz yang pernah dilantik sebagai Felo Perdana 2022 di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melahirkan rasa teruja apabila memperoleh peluang yang diberikan.
Katanya, hampir 3,000 permohonan belia Malaysia untuk mengikuti program ini dan dia adalah antara 10 belia yang terpilih untuk mengikuti program menarik peringkat antarabangsa itu.
“Peluang ini boleh dimiliki oleh rakan-rakan lain dan saya teruja untuk berkongsi lebih banyak cerita bersama rakan-rakan universiti mengalami pengalaman dalam mengikuti program-program anjuran Kementerian Belia dan Sukan.
Siti Fairuz bersama rakan kontinjen Malaysia yang lain iaitu pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) serta rakan profesion, pegawai sukan, peguam, dan guru akan berangkat ke Tokyo, Jepun pada penghujung November depan.
“Sebelum berangkat ke Jepun, kami perlu menjalani latihan di Malaysia bertujuan menonjolkan Kebudayaan Malaysia yang akan dipersembahan pada kontingen negara ASEAN yang lain semasa di Tokyo nanti.
Selain itu, katanya, didedahkan tentang SDG (Sustainable Development Goals) yang akan dibentangkan kepada beberapa kumpulan bersama kontingen negara ASEAN lain.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Norkhalid Salimin melahirkan rasa bangga atas pemilihan Siti Fairuz yang mengharumkan nama UPSI.
“Peluang ini perlu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk menjadi graduan yang memiliki kemahiran komunikasi dan pengalaman antarabangsa,” katanya.