Datuk Arthur Joseph Kurup menyampaikan replika cek RM10,000 kepada Timbalan Dekan ( Akademik dan Antarabangsa) FBK, Prof. Madya Dr. Charanjit Kaur a/p Swaran Singh
Tanjung Malim: Kerajaan melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menggunakan pendekatan Quintuple Helix iaitu gabungan antara kerajaan, industri, akademia, masyarakat dan alam sekitar dalam membudayakan STIE (Sains, Teknologi, Inovasi & Ekonomi) bagi melahirkan masyarakat yang berpengetahuan, berkemahiran, kreatif dan inovatif.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata demikian ketika merasmikan Anugerah Akademia Bitara (AKIRA 2022) di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS) di sini semalam.
Sehubungan itu, katanya, ahli akademik juga perlu meneroka dan mengaplikasikan teknologi pengajaran dan pembelajaran terkini agar mahasiswa tidak ketinggalan dengan arus pemodenan drastik pendidikan tinggi.
Katanya, hanya melalui kerjasama yang erat dan inklusif, kita dapat melahirkan mahasiswa dalam bidang pendidikan yang cakna dunia teknologi terkini seterusnya dapat menyumbang kepada pembentukan minda generasi baharu yang akan mencorak revolusi digital dan teknologi negara di masa hadapan.
Beliau memetik media yang menyatakan dianggarkan lebih 4.5 juta pekerjaan di negara ini akan pupus (obsolete) menjelang 2030 akibat ancaman Kecerdasan Buatan (AI) dan Pembelajaran Mesin (ML).
Justeru, katanya, terdapat lima bidang pekerjaan yang akan menjadi keutamaan termasuklah Pakar Data Raya (Big Data), Jurutera Pembelajaran Mesin (Machine Learning), Pakar Kecerdasan Buatan (A.I), Saintis Data dan Pembangun Kecerdasan Perniagaan.
Selain itu, Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) turut menjadi antara kemahiran yang diperlukan dalam tempoh lima tahun akan datang termasuklah pemikiran kreatif, pemikiran analitik, Celik teknologi serta kecerdasan buatan (A.I).
Justeru, MOSTI bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Kementerian Ekonomi akan memperhalusi strategi secara menyeluruh dalam memastikan pembangunan modal insan yang adaptif bagi memenuhi keperluan bidang STIE.
“Saya berharap penerima-penerima anugerah pada hari ini melibatkan diri secara langsung dalam program-program anjuran MOSTI serta membantu menjayakan agenda pendigitalan pendidikan dan membudayakan teknologi serta inovasi,” katanya.
AKIRA 2022 menyaksikan sebanyak 50 kategori anugerah akan disampaikan kepada 53 akademia sebagai pengiktirafan dan sanjungan berikutan membina kegemilangan UPSI.
Sementara itu Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata Katanya, sumbangan yang dilakukan akademia dan pentadbir akademik sangat bermakna dalam mengangkat nama UPSI bukan sahaja di dalam malahan di peringkat antarabangsa.
“Kejayaan atas penat lelah mereka berkorban masa dan pengorbanan tenaga selain menjayakan pelbagai idea inovasi berupaya meletakkan nama UPSI sebagai universiti yang menjadi rujukan dalam dunia pendidikan khasnya,” katanya.
Beliau berkata seperti saranan Perdana Menteri, UPSI akan meneroka bidang ilmu baharu bagi menyelesaikan masalah masyarakat malah mengembalikan kepercayaan masyarakat terhadap universiti.
Bagaimanapun, katanya, selain akademik, adab, akhlak dan daya pengorbanan juga perlu diterapkan kerana UPSI melahirkan bakal pendidik. Beliau mengucapkan tahniah kepada semua penerima anugerah dan berharap terus mengenang jasa insan-insan di sebalik kejayaan mereka.
Pada majlis itu, Datuk Arthur Joseph Kurup turut menyampaikan replika cek bernilai RM10,000 kepada Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK)yang diumumkan penerima Anugerah Fakulti Terbaik.
Majlis diserikan persembahan tarian oleh pensyarah dan koir oleh pelajar Fakulti Muzik dan Seni Persembahan.