Oleh: Nur Hidayah Shazira Mohd Shukor (NCDRC)
Kuala Lumpur: Pembelajaran yang menarik dan menyeronokkan, pastinya akan memberikan warna dalam kehidupan kanak-kanak. Ia tidak hanya dapat memberi motivasi yang besar, malahan dapat juga menjadi pengalaman yang bermakna dan diingati dalam kehidupan mereka.
Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-Kanak Negara (NCDRC) telah menganjurkan Program Lawatan Tahunan Taska Tadika yang bertempat di Fun X World Summit USJ dan di Little Pirates Playland Pavilion Bukit Jalil pada 2 hingga 12 Oktober 2023 yang disertai seramai lebih 250 orang kanak-kanak dari Taska Tadika, Ibu Bapa dan barisan pendidik. Lawatan tahunan ini merupakan salah satu program yang terdapat dalam takwim Taska Tadika NCDRC.
Program Lawatan Tahunan ini bertujuan untuk meningkatkan daya ketahanan fizikal kanak- kanak agar lebih kuat dan cerdas serta dapat membina keyakinan yang tinggi semasa menyertai program lawatan ini.
Lawatan ini juga dapat mewujudkan ikatan kasih sayang yang lebih erat antara ibubapa dan kanak- kanak serta mengeratkan persefahaman diantara ibubapa dan para pendidik.
Lawatan ini tidak hanya sekadar lawatan sahaja tetapi terdapat juga aktiviti selingan yang memerlukan ibu bapa bersama kanak-kanak menyiapkan aktiviti Treasure Hunt di 4 checkpoint yang telah ditetapkan oleh pihak penganjur.Aktiviti ini memberi peluang kepada ibu bapa untuk melihat perkembangan kanak-kanak secara langsung bukan hanya perkembangan fizikal sahaja malahan perkembangan lain termasuk kognitif dan kreativiti.
Menurut Noraida Othman, Pengarah Program Lawatan Taska Tadika NCDRC 2023 mengatakan bahawa program lawatan adalah merupakan program yang sentiasa dinantikan oleh setiap kanak-kanak.
“Program lawatan merupakan aktiviti luar bilik darjah yang dapat memberi pengalaman pembelajaran yang bermakna dan menyeronokkan kepada kanak-kanak di mana mereka diberi peluang untuk meneroka dunia luar bersama rakan-rakan, guru-guru dan juga ibu bapa. Saya percaya ianya juga dapat memberi pengalaman yang indah dan manis buat kanak-kanak Taska dan Tadika”. Katanya.
Puan Fadzillah Sapengin, salah seorang ibu yang bersama dalam lawatan kali ini memberi maklum balas bahawa tempat permainan indoor yang dipilih oleh pihak NCDRC adalah bersesuaian di musim cuaca yang tidak menentu dan berjerebu buat masa sekarang.
“Saya suka dengan pemilihan tempat. Sangat friendly dan mesra untuk anak-anak dan ibubapa juga. Disini saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak pengurusan NCDRC atas penganjuran program lawatan tahunan kali ini,” katanya.
Program lawatan seperti ini memberi ruang kepada kanak-kanak untuk bebas bereksplorasi dan bermain sambil belajar serta meningkatkan potensi dan bakat yang ada diri mereka.
NCDRC sebagai pusat pendidikan awal kanak-kanak terbaik dalam negara pastinya akan terus komited membangun suasana harmoni dalam pendidikan.
Syabas dan tahniah diucapkan untuk lawatan tahun ini dan semoga lawatan yang akan datang akan terus menjadi wadah pembangunan insan demi masa depan negara.