Tanjung Malim, 12 Oktober 2023: Golongan akademia bertanggungjawab sebagai insan yang memajukan universiti supaya unggul bukan sahaja di dalam malahan di peringkat antarabangsa.
Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) , Prof Md Amin Md Taff berkata akademia adalah nadi universiti dan berkat pengorbanan mereka hari ini UPSI semakin dikenali masyarakat dan antarabangsa berbanding lebih 20 tahun dahulu.
Ketika berucap sempena majlis sambutan Hari Akademia Peringkat UPSI di Dewan Jauhar, Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC), Kampus Sultan Azlan Shah anjuran Persatuan Kakitangan Akademik (PEKA) pagi tadi , katanya, universiti melakar pelbagai kejayaan yang membuatkan pelbagai pihak ingin membina kerjasama bersama universiti pendidikan ulung negara itu.
Terbaharu, katanya, 10 kakitangan UPSI berangkat ke University of Pennsylvania, Amerika Syarikat menyertai PennGSE Teaching And Learning Summit dan Program PennPBL Institute anjuran Graduate School Of Education serta menghantar pensyarah kanan, Prof. Madya Ts. Dr. Mahizer Hamzah mengikuti program sangkutan di Masachusetts Institute of Technology, Amerika Syarikat.
Terdahulu seramai 12 pensyarah UPSI terpilih untuk menyertai program Fellowships Australia 2023 di University of Sydney selain kejayaan Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) yang berjaya membuka pusat dan mengembangkan bahasa Melayu di SOAS University of London; Tashkent State University Oriental Studies (TSOUS), Uzbekistan; University of Dhaka, Bangladesh; Moscow State University, Moscow serta Middle East and Arab Centre for University Services (MEAC), Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Selain itu UPSI berjaya mengadakan menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Oxfor Centre for Islamic Studies ( OXIS).
Katanya akademia UPSI harus bersemangat dan berani meneroka pelbagai idea dan inisiatif sekali gus melahirkan kebanggaan terhadap pencapaian universiti.
Beliau berkata UPSI sebagai peneraju pendidikan Malaysia juga menawarkan kerjasama kepada institut pendidikan guru di negara ini untuk bersama-sama memajukan dunia pendidikan tanah air.
“Akademia UPSI harus berusaha mengembalikan kepercayaan masyarakat kepada akademia dan yakin dengan sumbangan kita dalam bidang masing-masing, “ katanya.
Akademia, katanya, perlu menjadi peneraju idea baharu dan mengembang idea tanpa hanya menjadi pengikut malah sebagai muallim dan murabbi kerana kita yang melahirkan guru.
Md Amin berkata akademia juga menjadi agen Akademik, Adab dan Akhlak demi mempertahankan adab dan akhlak dalam kalangan mahasiswa yang dilahirkan universiti.
Justeru, katanya, pada tahun depan, majlis Hari Akademia akan disambut bersama majlis Anugerah Akademia Bitara (AKIRA) dengan lebih gemilang.
Sementara itu Yang Dipertua PEKA, Prof Madya Dr Mohd. Faizal Nizam Lee Abdullah berkata Hari Guru disambut dengan gilang-gemilang, begitu juga Hari Akademia harus disambut dengan gilang gemilang kerana di universiti melahoirkan bijak pandai yang berilmu , berakal dan beradab demi kelangsungan masa hadapan.
“Akademia UPSI komited melaksanakan gagasan pengurusan universiti selari dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi dalam akademik, penyelidikan, penerbitan, perundingan serta pengkomersialan, “ katanya.
Sempena Hari Akademia UPSI diadakan Forum Akademia membabitkan panel Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Seri Prof. Dr. Awang Sariyan dan Pengerusi Lembaga Pengarah ITBM, Noor Amin Ahmad yang dipengerusikan pensyarah kanan FSK, Dr. Sahul Hamid Mohamed Maiddin dengan tajuk ” Akademia Pemacu Malaysia Madani”.
Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Marzita Puteh; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Norkhalid Salimin serta Pendaftar, Helmi Zaifura Abdul Rahman.