Oleh: Dr. Yuhanis Mhd Bakri (Pensyarah FSM) & Siti Radiah binti Nor Rahimmi (Pelajar FSM)
UPSI: Minat terhadap mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan murid sekolah semakin berkurang dewasa ini. Atas kesedaran itu, Fakulti Sains dan Matematik, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengambil inisiatif mengadakan Program Sekolah Bitara bagi memperkasakan pendidikan STEM dalam kalangan murid sekolah.
Program ini melibatkan 120 murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Batang Kali, Selangor dan 13 orang guru. Selain itu, program ini juga membabitkan 53 pelajar Ijazah Sarjana Muda dan Diploma di Fakulti Sains dan Matematik UPSI, 5 orang pensyarah UPSI dan 11 Pegawai Sains dan seorang Kurator Muzium. Program yang dirasmikan oleh Dekan Fakulti Sains dan Matematik UPSI, Prof. Madya Dr. Mohd Faizal Nizam Lee Abdullah disertai Guru Besar Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Batang Kali, Mohd Hasren Damiri.
Program kali ini merupakan kesinambungan daripada program terdahulu iaitu program SKBBBK@UPSI pada 3 April 2019 bertempat di Panggung Percubaan dan Dewan Kuliah Pusat UPSI. Ketika itu, program melibatkan seramai 234 murid dan 17 guru, 2 pensyarah, dan 51 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Pengisian program pada tahun ini termasuk aktiviti hands on dalam bidang sains yang juga menyokong silibus KBSM di sekolah. Selain itu, murid juga diberi peluang untuk ke Muzium Zoologi selain aktiviti melibatkan kimia, geometri dan botani. Penerapan disiplin dan akhlak juga dititikberatkan dalam program ini seperti solat Zuhur secara berjemaah.
Pengarah program, Dr. Yuhanis Mhd Bakri merangkap Penyelaras Utama Sekolah Bitara tersebut berkata, menerusi porgram ini yang melibatkan pelbagai jenis aktiviti telah dijalankan bagi menerapkan minat STEM selain memperkenalkan susana pendidikan tinggi dan universiti kepada murid sekolah.
Inisiatif ini juga adalah melalui SKBBBK yang merupakan sekolah bitara UPSI yang bermatlamat untuk membantu pihak sekolah dalam mempertingkatkan pencapaian, memberi bantuan kepakaran UPSI kepada pihak sekolah serta mengadakan program-program yang memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak.
Melalui program seperti ini, diharapkan minat murid dalam bidang STEM dapat ditingkatkan dan seterusnya murid akan menyambung pelajaran dan seterusnya meneruskan kerjaya dalam bidang berkaitan STEM.