Oleh: Nurul Ainie binti Abdullah
Tanjong Malim: Seramai 10 orang kakitangan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terdiri daripada pensyarah dan staf pentadbiran telah terpilih untuk mengikuti Program Pensijilan Profesional UPSI 2023. Program PennGSE Teaching And Learning Summit ini akan bermula pada 13 hingga 15 Oktober 2023 dan Program PennPBL Institute Anjuran Graduate School Of Education, University Of Pennsylvania, USA Secara Hibrid selama 3 minggu mulai 16 Oktober hingga 10 November 2023.
Tujuan program ini dilaksanakan adalah untuk memberi peluang dan pendedahan kepada pensyarah dan kakitangan pentadbiran dalam aspek pengajaran dan pembelajaran serta pentaksiran berdasarkan Modul Project-Based Learning dan Instructional Best Coaching Practices oleh Universiti of Pennsylvania, USA. Pengisian program dalam bidang Project Based Learning ini akan melahirkan lebih ramai pakar dari pelbagai bidang kepakaran.
Program ini juga dilaksanakan bagi mencapai KPI Tahun 2023 iaitu P104: Bilangan Pengiktirafan Yang Berteras Pengajaran dan Pembelajaran Diterima oleh Pensyarah dan P102: Program Sangkutan Kakitangan Luar Negara.
Peserta yang terlibat mengikuti program ini ialah Prof. Madya Dr. Mazlina binti Che Mustafa, Prof. Madya Ts. Dr. Muhamad Modi Lakulu, Prof. Madya Dr. Mohd Asri Mohd Noor, Dr. Siti Shuhaida Shukor, Prof. Madya Dr. Ridzwan Che Rus, Dr. Jaffry Zakaria, Dr. Ikhwan Hadi Yaacob, Dr. Hamidah Idris, Mahanum Muhammad dan Nazrul Azlan Musa.
Naib Canselor, Prof. Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, program ini bertujuan memberi peluang dan pendedahan kepada pensyarah dan staf pentadbiran untuk melibatkan diri secara mendalam dan membuat refleksi berterusan dalam aspek pengajaran dan pembelajaran serta pentaksiran, merekabentuk portfolio dan memperhalusi strategi baharu untuk pengajaran dan pembelajaran.
Sementara itu Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Marzita Puteh berkata antara kriteria pemilihan peserta adalah mereka dari talent pool (takungan bakat) pensyarah yang memegang jawatan pentadbiran, talent pool staf pentadbiran dan talent pool yang akan menyertai pertandingan PdP di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
“Program ini dijalankan bagi mencapai Indeks Prestasi Utama (KPI) bagi 2023 iaitu bilangan pengiktirafan yang berteras pengajaran dan pembelajaran diterima oleh pensyarah sekali gus memenuhi sasaran Program Sangkutan Kakitangan Luar Negara,” katanya.
Prof. Dr. Marzita Puteh Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa mengucapkan tahniah kepada kakitangan yang terpilih ketika hadir meraikan majlis pelepasan peserta di KLIA Kuala Lumpur pada malam tadi.