Oleh: Nik Shahruddin Mat Jusoh, Irenn Sharoo Anak Roland & Nur Anis Rosli (MMK KHAR)

Tanjong Malim: Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) menganjurkan Program Minggu Semarak KHAR yang berlangsung pada 20 dan 21 Oktober bertempat di Dewan Kolej Harun Aminurrashid. Program yang berlangsung selama dua hari tersebut bertujuan untuk menyemai ikatan perkenalan di antara Pentadbiran Kolej Kediaman KHAR dan mahasiswa baru.

Program yang disusun oleh Majlis Mahasiswa Kolej berkonsepkan semangat kemasyarakatan dengan menampilkan pelbagai slot aktiviti yang menarik dan santai serta membuka ruang mahasiswa untuk menonjolkan bakat dalam sukan dan kesenian.

Yang Dipertua Majlis Mahasiswa Kolej Khar, Mohammad Naqiuddin menyatakan bahawa Minggu Semarak KHAR memang disusun untuk aktiviti yang lebih santai dan menyeronokkan.

Hal ini selari dengan amanat yang disampaikan oleh Pengetua KHAR, Dr Che Anuar Che Abdullah yang menjelaskan bahawa program ini perlu menjadi tempat untuk mahasiswa baru meraih semangat kekitaan dan menunjukkan kebolehan dan potensi yang ada dalam diri mereka.

“Ini juga antara hasrat universiti yang menginginkan slot aktiviti yang menyeronokkan dan memberi lebih banyak ruang untuk mahasiswa baru menonjolkan bakat serta menggilap permata yang akan membawa harum nama kolej KHAR dan UPSI secara menyeluruh dan menjadi pewaris kegemilangan suluh budiman,” katanya dalam ucapan.

Pada hari pertama, Semarak KHAR dimulakan dengan slot aktiviti kebersamaan yang dikelola penuh oleh MMK KHAR. Slot pembukaan ini adalah bagi persediaan untuk mahasiswa baru menempuh hari panjang dimana slot seterusnya adalah sesi perkongsian bersama Alumni UPSI yang disampaikan oleh YBhg. Dato Seri Ahmad bin Hj Burak lalu diteruskan dengan taklimat pentadbiran kolej.

Slot bersama Alumni UPSI, YBhg. Dato Seri Ahmad Haji Burak
Slot bersama pihak Pentadbiran Kolej Harun Aminurrashid

Pada hari seterusnya, aktiviti sukan rakyat menjadi highlight dimana kesemua mahasiswa baru diletakkan didalam kumpulan yang dibahagikan “sama rata sama rasa” oleh pihak jawatankuasa. Slot ini memainkan peranan penting dalam memupuk semangat setiakawan dalam kalangan mahasiswa untuk belajar memahami dan menghormati sesama mereka. Pelbagai aktiviti sukan rakyat telah dianjurkan seperti futsal, bola jaring, bola tampar dan lain-lain yang menggalakkan kerja berpasukan, kecergasan fizikal, dan persaingan mesra diantara mereka. Aktiviti ini membantu mahasiswa untuk membentuk perhubungan dalam kumpulan mereka biarpun merentasi kursus atau program universiti yang berbeza.

Salah satu acara kemuncak Program Minggu Semarak KHAR ialah persembahan hebat yang dipersembahkan oleh pelajar baharu. Aktiviti ini dapat mempamerkan kepelbagaian bakat dan kreativiti mereka dengan membawa seluruh komuniti kolej bersama-sama untuk meraikan ekspresi artistik kolektif mereka. Tidak hanya mahasiswa, felo juga tidak ketinggalan membuat persembahan kesenian pada malam tersebut.

Turut hadir felo-felo kolej kediaman KHAR iaitu Hazman Ya’akob, Nurul Najwa Mohamad, Muhammad Fatkhurrozak Sokhipul Hadi, Nazrin Yusri dan Dr. Muhammad Ridhwan Sarifin selaku ketua felo yang mewakili pengetua merasmikan Malam Kesenian dan Kebudayaan Minggu Semarak KHAR yang penuh dengan warna warni.

Antara potret persembahan dari mahasiswa baru dan persembahan khas dari felo kolej kediaman, Muhammad Fatkhurrozak selaku penasihat Exco Kesenian dan Kebudayaan.

Secara ringkasnya, impak Program Minggu Semarak KHAR kepada mahasiswa baharu adalah dapat membantu mereka dalam perjalanan akademik mereka dan mewujudkan rasa perpaduan dan kekitaan dalam komuniti KHAR. Pendekatan pelbagai aspek program, termasuk penglibatan alumni, interaksi dengan majlis pelajar, dan pelbagai aktiviti, berfungsi sebagai landasan untuk pertumbuhan holistik pelajar baharu.

Alumni KHAR, Ain Syafia Qutreenie yang pernah berkhidmat sebagai Exco Media dan Publisiti sidang 2019/20 menyatakan bahawa kepelbagaian program dan aktiviti yang meriah di KHAR memainkan peranan penting dalam menggilap potensi diri.

“Sebagai alumni, saya merasa slogan KHAR Rumah Kita sangat besar dan tepat untuk setiap penghuni. Ini kerana sewaktu saya melibatkan diri secara aktif di KHAR dan menjasi MMK membuka banyak peluang mempelajari hal yang baru khususnya dalam aspek kepimpinan. Saya doakan KHAR akan terus mencipta nama dan melahirkan banyak pewaris suluh budiman yang bermotivasi tinggi dan berkeperibadian unggul,” katanya.

Program-program sebegini sangat menyokong hasrat UPSI sebagai Universiti No. 1 Pendidikan yang sentiasa menginginkan kejayaan untuk setiap warganya dan memastikan mahasiswa yang terlahir akan menjadi seorang yang mempunyai pakej yang lengkap dan berdaya saing dalam pelbagai bidang yang diceburi.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)