Tanjong Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris telah menganjurkan program orientasi bagi ambilan pelajar baharu sesi 2023/2024 pada 18 Oktober 2023 (Rabu) bermula jam 9.00 pagi hingga 7.00 malam. Program dimulakan dengan Majlis Ikrar Pelajar bersama Setiausaha Politik (SUPOL) Menteri Pendidikan Tinggi, YBhg. Datuk Hj. Mohammad Khairi Hj. A Malik yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor UPSI.
Program diteruskan dengan sesi bersama fakulti masing-masing. Sesi bersama Fakulti Sains Kemanusiaan berlangsung di E-Learning, UPSI diakhiri dengan sesi bersama jabatan dan persatuan masing-masing. Sesi bersama Fakulti Sains Kemanusiaan turut dihadiri oleh Dekan, barisan Timbalan Dekan, barisan Ketua Jabatan, barisan Penyelaras Kursus, Penolong Pendaftar dan barisan Pensyarah di bawah Fakulti Sains Kemanusiaan. Sesi ini bertujuan untuk memperkenalkan barisan Ketua Jabatan di bawah FSK dan memberi perkongsian tentang program yang telah dijalankan serta pencapaian pensyarah dan pelajar FSK kepada pelajar baharu.
Program orientasi ini diadakan adalah untuk meraikan kedatangan pelajar Ijazah Sarjana Muda Semester 1 Ambilan Oktober Sesi 2023/2024 sekaligus dapat memperkenalkan barisan pengurusan fakulti, Majlis Perwakilan Pelajar dan badan persatuan di bawah fakulti masing-masing. Selain itu, dapat mempersiapkan pelajar baharu terhadap cabaran yang akan dihadapi sepanjang pengajian mereka nanti. Objektif lain program ini ialah merangsang pelajar untuk terlibat dalam persatuan atau program yang dianjurkan agar dapat memberikan impak dan kebaikan yang menyeluruh kepada pelajar sekaligus mengeratkan hubungan silaturahim di antara pelajar.
Menurut Ketua Jabatan Pengajian Moral, Sivik dan Pembangunan Karakter, Dr. Vasanthan a/l Gurusamy menekankan agar pelajar mengikuti struktur pengajian yang telah ditetapkan bagi memudahkan urusan semua pihak. Selain itu, beliau juga menegaskan kepada pelajar untuk mengambil ketiga-tiga kursus ko-kurikulum berkredit iaitu badan beruniform, kelab dan persatuan serta sukan dan permainan. Beliau juga menjelaskan mengenai pembaharuan kursus bahasa asing di mana pelajar wajib mengambil kursus tersebut.
Dr. Sara Shakilla Salim dalam ucapannya berkata bahawa pelajar harus menghormati para pensyarah dan sebaliknya. Beliau turut mengatakan sekiranya pelajar baharu ingin memerlukan sebarang pertolongan berkenaan dengan pembelajaran boleh bertanya kepada pensyarah atau majlis kepimpinan PERMOR.
Program ini telah diakhiri dengan selesainya pencarian Wakil Semester selesai bagi pelajar ambilan Semester 1 Sesi 2023/2024 dan sesi bergambar pelajar bersama barisan pengurusan Fakulti.