Oleh: Afiqah Danian dan Taufiq Bahari
TANJONG MALIM– Seramai lebih kurang 3,300 calon yang berjaya ditawarkan ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah mendaftar di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City. Pendaftaran yang berlangsung bermula jam 8.00 pagi sehingga 5.00 petang pada 15 Oktober 2023 ini turut melibatkan sebanyak 5 kolej bagi penempatan pelajari iaitu, Kolej Ungku Omar, Kolej Harun Aminurrashid, Kolej Awang Had Salleh, Kolej Za’ba dan Kolej Aminuddin Baki.
Seawal jam 8 pagi, ketibaan pelajar-pelajar baharu ini telah disambut dan disantuni oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Norkhalid Salimin bersama barisan Majlis Pengarah-pengarah di pintu utama Kampus Sultan Azlan Shah UPSI bagi berkongsi kegembiraan dan keterujaan ahli keluarga terutama bagi mereka yang pertama kali sampi ke daerah Muallim.
Seterusnya, antara perkara menarik yang mendapat perhatian ialah kemasukan kali ini UPSI telah menerima pelajar OKU, Thirusya A/P Thamotharan yang mempunyai masalah pendengaran pada sebelah telinganya.
“Walaupun saya mempunyai masalah pendengaran, namun saya menganggap kekurangan ini bukan halangan untuk bersemangat meneruskan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.
Turut hadir meluangkan masa beramah mesra bersama ahli keluarga dan pelajar ialah Lembaga Pengarah Universiti YBhg. Dato’ Seri Hj. Ahmad Hj. Burak.
Bagi memastikan hari pendaftaran berjalan dengan lancar, seramai lebih 300 orang Rakan Millenia yang terlibat dari kalangan pelajar dan staf UPSI serta turut dibantu Majlis Mahasiswa Kolej dari 5 kolej kediaman dan 27 orang Majlis Perwakilan Pelajar untuk melancarkan sesi pendaftaran.
Lembaga Pengarah Universiti YBhg. Dato’ Seri Hj. Ahmad Hj. Burak didalam ucapan ringkas kepada pelajar berkata “Saya amat mengalu-alukan kedatangan semua pelajar baharu Ijazah Sarjana Muda Sesi 2023/2024 ini dan berasa terharu dengan kesungguhan ibu bapa dan berharap semua mahasiswa/i yang baharu menjejakkan kaki ke dalam kampus ini tidak menghampakan harapan ibu bapa yang datang dari pelbagai latar belakang”.
Suasana di setiap kolej sangat meriah dengan kehadiran pelajar baharu yang turut mewarnai sesi pendaftaran ini. Kelihatan ibu bapa dan keluarga pelajar yang begitu bangga dan gembira menyertai anak-anak mereka dalam langkah pertama menuju pendidikan tinggi. Semangat kekeluargaan pelajar-pelajar baharu ini semakin memperkukuhkan UPSI dalam menghasilkan individu-individu yang berbakat dan berilmu.