Oleh: Sofea Maisarah binti Shuib dan Aldianie Alim
UPSI – Digelar Anak Kandung Suluh Budiman sudah semestinya menjadi satu impian bagi kebanyakan anak muda yang ingin menuntut ilmu di Universiti Pendidikan Sultan Idris. Senyuman indah terlukis di wajah bakal mahasiswa pada saat surat tawaran terpampang jelas di depan mata mereka. Betullah kata orang, rezeki tak pernah salah alamat!
Perasaan gembira dan sedih kerana harus berpisah dengan keluarga tercinta dapat dibaca dari lirik wajah setiap pelajar yang datang mendaftar di Kolej Ungku Omar pada 15 Oktober 2023. Suasana Kolej Ungku Omar menjadi riuh dan meriah dengan kehadiran 1,149 orang pelajar yang terdiri daripada 344 orang pelajar lelaki dan 805 pelajar perempuan yang melibatkan 4 fakulti termasuk Fakulti Pembangunan Manusia (FPM), Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE) dan Fakulti Seni Kelestarian Industri Kreatif (FSKIK).

Pelajar daripada Borneo iaitu Sabah dan Sarawak juga tidak dipinggirkan dalam arus pendidikan. Seramai 95 orang pelajar Borneo yang mendaftar secara berkala bermula 13 Oktober disambut dengan tangan yang terbuka oleh seluruh warga Kolej Ungku Omar terutamanya Prof. Madya Dr. Nizam Nasrifan, pengetua Kolej Ungku Omar yang sentiasa mengalu-alukan kedatangan pelajar ke kolej KUO.
“Dengan hadirnya pelajar baharu, maka akan hadir seribu satu gelagat baharu. Saya anggap seperti anak saya sendiri yang dipenuhi dengan rasa ingin tahu dan sentiasa haus akan ilmu, saya sebagai seorang ayah akan sentiasa berusaha untuk memastikan anak-anak saya tidak melelapkan mata pada waktu malam dalam keadaan tidak mendapat sebarang ilmu baharu”, katanya.
Tambahnya lagi, pelajar baharu akan menjalani program orientasi kolej iaitu KUO KITA PUNYA! bermula 20 hingga 22 Oktober ini bagi memberi pendedahan berkaitan peraturan dan kemudahan asas yang ada di kolej. Program ini juga dapat memberi satu suntikan semangat dan dorongan kepada pelajar-pelajar baharu untuk terus aktif menjadi mahasiswa yang tidak hanya fokus kepada akademik tetapi turut aktif menyertai program berimpak tinggi yang dianjurkan oleh Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar.
Dengan kapasiti yang boleh menampung seramai 2,052 orang pelajar dalam satu semester, pengurusan Kolej Ungku Omar dengan bantuan barisan Majlis Mahasiswa Kolej bersedia untuk memastikan semua aduan dan permasalahan penghuni diberikan solusi yang sepatutnya di samping memastikan penghuni hidup dengan tenteram dan harmoni.