Oleh: En. Wan Hairil, Nurul Izzah, Rabiatul Ayiesah dan Nur Syamimi Athilah
Tanjong Malim– Majlis Mahasiswa Kolej Aminuddin Baki sidang 2023/2024 telah mengadakan Sesi Mesra Bersama Pentadbiran dan Felo Kolej Aminuddin Baki yang berlangsung pada 28 Oktober bertempat di Pusat Aktiviti Pelajar, KAB. Program ini melibatkan keseluruhan penghuni kolej terdiri daripada penghuni di Blok B dan Blok C.
Tujuan utama program ini diadakan bagi memperkenalkan barisan Pentadbiran Kolej Aminuddin Baki dan juga barisan Felo. Selain itu, taklimat ini juga bertujuan memberi peringatan tentang peraturan-peraturan kolej yang wajib dipatuhi sepanjang berada di Kolej Aminuddin Baki. Sesi Mesra Bersama Pentadbiran dan Felo ini turut dihadiri oleh Pengetua Kolej Aminuddin Baki, Prof. Madya Dr. Syed Ismail Syed Mohamad dan kakitangan Pentadbiran Kolej.
“Semua Mahasiswa dan Mahasiswi khususnya penghuni Kolej Aminuddin Baki perlu menerapkan nilai-nilai positif dan menjaga keperibadian diri bagi menjaga adab dan akhlak,” katanya dalam ucapan perasmian Sesi Mesra bersama Pentadbiran dan Felo. Seramai 540 penghuni telah terlibat mendengar dan memahami segala peraturan serta tatacara yang perlu dilaksanakan sebagai penghuni kolej.
Pelbagai pesanan dan ingatan telah disampaikan oleh Firdaus Jasmani, Felo Blok B merangkap Felo Penasihat sesi mesra bersama Pentadbiran dan Felo.
“Tindakan akan diambil sebagai susulan dari peringatan yang telah disampaikan kepada semua penghuni supaya patuh dengan peraturan yang telah ditetapkan,” katanya.
Diharapkan program ini mampu memberi impak positif seperti ikatan ukhuwah yang terbina antara pihak pengurusan kolej bersama penghuni kolej terjalin sehingga ke akhirnya sekaligus memudahkan penyampaian info atau maklumat penting kepada seluruh warga Kolej Aminuddin Baki agar dapat terus maju dan menaikkan nama baik serta imej kolej.