Oleh: Siti Irdina Najihah Md. Haris dan Muhammad Danish Irfan Shamsul Buhari
Tanjong Malim– Kenyataan Media Kementerian Kesihatan Malaysia bertarikh 13 Oktober 2023 sempena Minggu Epidemologi ke-40 tahun 2023 menunjukkan bahawa jumlah kes demam denggi yang dilaporkan adalah sebanyak 2,436 kes berbanding 2299 pada minggu sebelumnya, hal ini menunjukkan peningkatan sebanyak 137 kes.
Sehubungan dengan itu, Majlis Mahasiswa Kolej Awang Had Salleh telah mengambil langkah drastik serta inisiatif dalam membanteras pembiakan nyamuk aedes dengan mengadakan program KAHSI Clean: Banteras Denggi pada 28 dan 29 Oktober 2023. Dianggarkan hampir seluruh penghuni kolej hadir menyumbang tenaga dalam menjayakan aktiviti gotong royong ini.
Lensa program memfokuskan kepada ceramah Stop the Bite: KAHSmart Dengue yang telah disampaikan oleh Dr. Nur Hidayah P. Azhar, Pegawai Epidemiologi (Unit Vektor) Pejabat Kesihatan Daerah Muallim.
“Setiap lapisan masyarakat perlulah berganding bahu dalam memusnahkan tempat yang berpotensi menjadi lokasi pembiakan nyamuk aedes. Amalan ini bukan sahaja perlu diterapkan di kawasan kolej mahupun universiti tetapi perlu juga dipraktikkan di kawasan rumah masing-masing,” katanya.
“Universiti haruslah sentiasa menyambut baik kerjasama dan memberikan sokongan sepenuhnya kepada agensi-agensi awam mahupun swasta dalam membendung penularan wabak ini,” ujarnya lagi.
Turut diadakan pertandingan kuiz ilmu “KAHS Health”, jigsaw puzzle “KAHS Connect” dan teka silang kata “Cross Dengue”memberikan pendedahan secara tidak langsung kepada penghuni dalam mendapatkan info dan maklumat berkaitan dengan kepentingan mencegah penularan wabak denggi.
Dr. Raja Ahmad Shalaby Raja Hassan, Felo Kolej Awang Had Salleh, UPSI amat berbangga dengan cetusan idea pihak jawatankuasa bagi mengambil langkah pencegahan awal dalam membendung wabak ini. Setiap rumah penghuni juga diberikan sepaket Abate 1.1 gram (racun serangga) untuk dimasukkan ke dalam tangki simbah bagi memastikan nyamuk aedes tidak membiak.
Diharapkan program ini dapat menyuntik kesedaran kepada semua penghuni kolej berkaitan pencegahan demam denggi.