Oleh: Muhammad Fatkhurrozak Sokhipul Hadi, Norrulkamari Daud & Nur Ayuniey Rosli
Tanjong Malim: Kebersihan dalam rumah menjadi keutamaan untuk membina suasana harmoni dan toleransi dalam kehidupan mahasiswa. Kebersihan yang sempurna menjamin kesihatan yang baik dan ketenangan dalam menikmati hidup sebagai mahasiswa universiti yang berbilang kaum.
Kolej Harun Aminurrashid dibawah penganjuran aktif dari Majlis Mahasiswa Kolej dan Ahli Jawatankuasa Blok Kolej Kediaman KHAR mengarah kesemua penghuni bersama-sama menyertai Program Rumahku Syurgaku yang berlangsung selama dua hari bermula 28-29 Oktober 2023 yang melibatkan 1300 mahasiswa KHAR secara keseluruhan.
Nur Anis Romli, ketua blok Dahlia menjelaskan bahawa kerjasama semua pihak dalam penganjuran program ini menjadi kekuatan keberhasilan penglibatan penuh seluruh mahasiswa KHAR khususnya.
“Saya faham bahawa hujung minggu adalah waktu rehat bagi mahasiswa tetapi dengan kesedaran dan penglibatan penuh semua AJK membuatkan mahasiswa juga terpanggil untuk ikut serta,” katanya.
Beliau menambah bahawa perkara ini bukanlah hanya sekali malah akan menjadikannya sebagai aktiviti rutin blok agar kebersihan akan sentiasa terjaga dan menjadikan KHAR sebagai rumah buat mereka yang sentiasa memberi keamanan dan kenyamanan dalam pelbagai sudut.


Sudah menjadi kewajipan untuk mahasiswa sentiasa menjaga penampilan diri termasuklah penjagaan kebersihan dari dalam rumah.
Ia merupakan faktor yang besar dalam kemenjadian diri mahasiswa yang berdisiplin serta mampu mengikuti peraturan kolej yang sentiasa menekankan faktor kebersihan tempat tinggal sekaligus melatih pembinaan sifat timbang rasa sesama penghuni demi keselesaan bersama.
Dengan kawalan kebersihan yang kemas dan teratur, sudah pasti mahasiswa akan hidup dengan suasana bersih dan membantu meningkatkan tahap pemikiran yang proaktif tanpa halangan dari kotoran dan bau yang menganggu.
Diharapkan program sebegini akan terus berterusan demi mewujudkan suasana persekitaran yang sihat dan kondusif serta selari dengan jenama UPSI sebagai Universiti Pendidikan No 1 yang sentiasa melestarikan budaya positif dalam diri bakal guru.
