Langkap, Perak – Hari Sukan Negara merupakan satu sambutan yang tidak asing bagi rakyat Malaysia pada setiap tahun. Sempena Hari Sukan Negara 2023, Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menggegarkan suasana padang Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Sagor Langkap, Perak dengan kepelbagaian aktiviti sukan yang melibatkan seluruh warga sekolah.
Tujuan program ini dilaksanakan adalah bagi merealisasikan hasrat dan inpirasi kerajaan dalam menjadikan Malaysia sebagai negara yang mempunyai rakyat yang sentiasa bersukan terutamanya dalam kalangan pelajar sehingga ia menjadi satu budaya hidup dalam kalangan rakyat negara ini. Sejajar dengan sasaran kerajaan, Ainul Husna Tamizi, pengarah program merangkap Exco Sukan dan Rekreasi Kolej Ungku Omar bersama dengan Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar telah menggembleng tenaga untuk memastikan sambutan hari sukan mendapat sambutan yang meriah daripada seluruh warga SMK Dato’ Sagor.
Aktiviti sukan yang terdiri daripada sukan memanah, tarik tali, tendangan penalti, bola jaring dan pétanque mendapat penyertaan dan sambutan yang meriah daripada 160 pelajar sesi petang dan guru-guru SMK Dato’ Sagor. Program yang bermula pukul 3.00 petang didahului dengan aktiviti senamrobik sebagai pemanasan badan sebelum aktiviti sukan bermula. 14 orang ahli jawatankuasa yang terlibat masing-masing mengambil bahagian dalam mengendalikan acara sukan yang dimainkan bagi melancarkan perjalanan program.
Prof. Madya Dr. Mohd Nizam Nasrifan, Pengetua Kolej Ungku Omar yang turut serta dalam memeriahkan sambutan hari sukan dengan penuh bangga dan semangat mengatakan program ini sebagai platform terbaik untuk membudayakan jiwa kesukanan, menyatukan masyarakat selain dapat menyuburkan hubungan baik sesama rakyat Malaysia pelbagai bangsa, agama dan budaya.
Penolong Kanan sesi petang, SMK Dato’ Sagor iaitu Puan Edariza Salam bersetuju bahawa program ini bukan sahaja dapat memupuk dan menyemarakkan lagi semangat perpaduan dalam kalangan pelajar berbilang bangsa selari dengan aspirasi Keluarga Malaysia, malah dapat menjalin hubungan baik bersama pihak Kolej Ungku Omar, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
“Tidak ada yang lebih baik daripada bersukan, ia dapat merapatkan perhubungan kaum dan meningkatkan semangat patriotisme.”
Program ini diharapkan dapat membantu para pelajar dan guru dalam meningkatkan pengetahuan dan ilmu mengenai sukan. Penyertaan yang meriah daripada pihak sekolah SMK Dato’ Sagor telah membantu pihak penganjur mencapai objektif program. Tahniah dan syabas diucapkan kepada para penganjur dan semoga program sebegini dapat diadakan lagi di masa akan datang supaya dapat mencungkil lebih ramai bakat mahasiswa sekaligus dapat menjadikan mahasiswa lebih proaktif dalam merebut peluang sebegini pada masa akan datang.