Oleh: Esther Stephen (Pelajar Latihan Industri BKK UPSI)
Tanjung Malim- Seramai 5,000 warga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hadir di perkarangan Stadium UPSI menyertai Sambutan Pink Oktober sempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara Sedunia dan Perhimpunan Bulanan.
Sambutan yang berlangsung pada 19 Oktober lalu itu dianjurkan oleh Pusat Kesihatan Universiti, Bahagian Hal Ehwal Akademik, Pusat Sukan, Persatuan Kakitangan Akademik (PEKA), dan Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan di Stadium UPSI.
Naib Canselor UPSI, Prof. Dato’ Dr. Md Amin Md Taff merakamkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih atas kehadiran semua pihak yang terbabit sekali gus seterusnya merasmikan Sambutan Pink Oktober Khamis lalu.
Beliau berharap agar sambutan itu dapat menimbulkan kesedaran kepada semua masyarakat untuk bersama-sama menjaga kesihatan diri.
Katanya, UPSI mencapai pelbagai kejayaan yang membanggakan, antaranya tentang seorang pelajar yang berjaya memenangi pingat gangsa dalam acara Sukan Asia baru-baru ini.
Pengarah Pusat Kesihatan Universiti, Dr. Farah Salwani Che Ku Razak berkata Sambutan Pink Oktober diadakan bersempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara Sedunia yang dilaksanakan setahun sekali.
“Ia bertujuan untuk mewujudkan kesedaran dalam kalangan masyarakat yang menghidap penyakit kanser, malah ia tidak hanya membabitkan golongan wanita sahaja, tetapi turut memberi kesan terhadap golongan lelaki dan berisiko tinggi untuk dijangkiti, “ katanya.
Beliau menyeru agar semua pihak dapat melakukan pemeriksaan secara berkala bagi meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan hidup sejagat. Katanya, pemeriksaan awal dapat menyelamatkan nyawa.
Pelepasan Pink Walk dibuat secara serentak pada pukul 7.50 pagi oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr. Norkhalid Salimin untuk peserta pelajar di Kolej Harun Aminurrashid manakala bagi peserta kakitangan dilepaskan oleh Pendaftar, Helmi Zaifura Abdul Rahman di Arena UPSI.
Selepas acara Pink Walk, diadakan Formasi Pink Ribbon yang dibawa oleh 200 pelajar membentuk formasi dengan membawa payung berwarna pink di dalam kawasan Stadium UPSI.
Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Puan Sri Datuk Seri Rohani Parkash Abdullah, serta barisan Pengurusan Tertinggi UPSI.