Oleh: Mohammad Akmal Hakim Bin Mohd Asri

TANJUNG MALIM 05 OKTOBER 2023 – Semangat kepimpinan dan penglibatan pelajar di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus berkobar apabila Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) berkolaborasi bersama Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) UPSI dalam melaksanakan Bengkel Pemerkasaan Kepimpinan Badan Pelajar UPSI 2023.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof. Madya Dr. Norkhalid Salimin, seramai 130 Yang Dipertua (YDP) badan pelajar kelab dan persatuan menyertai  Bengkel Pemerkasaan Kepimpinan Badan Pelajar UPSI 2023 ini yang diadakan di WP Hotel, Kuala Lumpur.

Prof. Madya Dr. Norkhalid Salimin menjelaskan, “Tujuan utama bengkel ini adalah untuk menjadikan YDP badan pelajar sebagai entiti yang mempunyai ideologi kepimpinan yang berfikiran realistik dalam kalangan pelajar, dan memainkan peranan penting dalam menjayakan Agenda Pemerkasaan Mahasiswa selaras dengan amanat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk memahami Agenda Pemerkasaan Mahasiswa Fasa 1 iaitu (1.) Pemilihan MPP Universiti Awam (UA) dilaksanakan sepenuhnya oleh pelajar; (2.) Autonomi pengurusan aktiviti pelajar; (3.) Autonomi pengurusan kewangan pelajar; dan (4.) Panduan pelajar berpolitik di dalam dan luar kampus.

Seterusnya, beliau turut menekankan, mereka yang dipilih untuk memegang tanggungjawab ini perlu menyedari bahawa menjadi seorang pemimpin bukan sekadar memiliki kuasa untuk merancang, meluluskan atau mengelola persatuan atau kelab. Akan tetapi 5 peranan yang dizahirkan oleh beliau iaitu, (1) Mempunyai pengetahuan, ilmu dan kemahiran dalam memimpin kumpulan pelajar; (2) Membina hubungan yang rapat dengan pengurusan universiti terutama pihak Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni; (3) Menjalankan tugas sebagai duta universiti kepada pelajar-pelajar; (4) Menerokai peluang dan ruang bekerjasama dengan pelbagai agensi awam dan swasta; dan (5) Mempamerkan contoh peribadi yang boleh dijadikan ikutan kepada pelajar-pelajar lain.

Tambahan pula, kehadiran En. Hirman bin Awang @ Semail, Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar  Jabatan Hal Ehwal Pelajar KPT merancakkan lagi Bengkel Pemerkasaan Kepimpinan Badan Pelajar yang diadakan. Dalam ucapannya, menjelang Januari 2024, badan pelajar yang dikelola oleh Majlis Perwakilan Pelajar akan menjadi perintis kepada produktiviti agenda pemerkasaan mahasiswa ini. Antaranya, MPP akan menguruskan kewangan pelajar sepenuhnya. Agenda ini dapat memberikan langkah kanan kepada MPP dalam menentukan hala tuju kewangan organisasi dengan lebih praktikal dan mudah untuk disalurkan kepada mahasiswa menerusi program- program berimpak tinggi selain menjamin kebajikan mahasiswa di kampus.

Inisiatif ini telah menzahirkan bahawa UPSI berusaha sepenuh tenaga untuk membentuk mahasiswa yang bukan hanya cemerlang dari aspek akademik, tetapi melahirkan individu yang berpengetahuan tentang proses demokrasi, kepimpinan, dan tanggungjawab sosial. Semangat demokrasi dan penglibatan pelajar ini adalah tonggak penting dalam pembangunan pelajar di UPSI, yang akan menjadi anjakan paradigma kepada masyarakat dan negara di masa akan datang. Maka dengan itu, pengisian yang diketengahkan dalam program ini dapat menerapkan aspek  kepimpinan, pengurusan organisasi, pengurusan kewangan, pemikiran kritis, komunikasi berkesan, dan membentuk personaliti pemimpin. Setiap slot telah dihadiri oleh barisan pengurusan universiti bagi menyampaikan taklimat, perkongsian dan pengalaman dalam organisasi yang produktif .

Di samping itu Pengarah Program, Balqis Samad yang juga merupakan Majlis Perwakilan Pelajar UPSI berpendapat bahawa program seperti ini merupakan medium yang terbaik dalam membawa pendekatan dalam menyambut baik saranan aspirasi daripada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang mahu pelajar bukan saja cemerlang akademik malah, berfikiran kritis dalam kemahiran menyelesaikan masalah. Program seperti ini juga merupakan salah satu proses pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran dalam melahirkan pemimpin kalis masa hadapan. Akhir sekali, penganjuran bengkel ini diharapkan memberi impak yang optima kepada peserta dalam kalangan pemimpin badan pelajar di samping melahirkan pemimpin yang syumul dan berkualiti dalam memacu kebitaraan pendidikan.