Oleh: Hazim Haziq Rizal, Shaarmila A/P Asokan & Aldianie Alim
Kolej Ungku Omar, 8 November 2023 – Perayaan Deepavali atau lebih dikenali sebagai ‘Pesta Cahaya’ adalah satu perayaan yang tidak asing bagi rakyat kepelbagaian kaum di Malaysia. Setiap kali tibanya perayaan ini, Malaysia pasti indah diwarnai dengan kepelbagaian warna Dhoti, Sari, Salwar Kameez dan Kurta yang dikenakan oleh masyarat beragama Hindu, Sikh, Jain dan aliran Buddha.
Program ‘Countdown to Deepavali’ anjuran Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar, UPSI dengan kerjasama Persatuan Bahasa Tamil, UPSI merupakan program merentas sempadan budaya yang memberi peluang kepada semua mahasiswa untuk lebih mengenali hari Deepavali sebagai satu perayaan yang ada di Malaysia. Program ini terbahagi kepada dua sesi sebagai satu inisiatif pihak penganjur untuk meluaskan pengetahuan mahasiswa dan orang awam tentang perayaan Deepavali di Malaysia.
Bagi siri pertama, program ini telah dijalankan secara bersemuka yang mana kepelbagaian booth seperti ‘Freehand Rangoli,’ ‘Henna Booth,’ ‘Ask and Learn’, ‘My Diwali DIY’, ‘Deepavali Knowledge’ dan ‘Photobooth Dress to Impress’ telah memeriahkan suasana Kolej Ungku Omar sekaligus memberi peluang kepada pengunjung untuk merasai keindahan perayaan Deepavali serta memahami dan menghargai tradisi dan budaya India.
Menurut Dr. Ilangkumaran A/L Sivanadhan, Penasihat Persatuan Bahasa Tamil, program ini memberi peluang kepada semua mahasiswa untuk mengenali budaya yang dibawa oleh penganut agama India melalui aktiviti-aktiviti program ini. Sehubungan dengan itu, ia memberikan sedikit pengalaman dan pendidikan yang berkualiti kepada mahasiswa bagi membentuk semangat perpaduan khususnya kepada rakyat Malaysia.
“Dalam kesempatan ini juga, pihak kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar kerana menganjurkan program ‘Countdown to Deepavali’ di Kolej Ungku Omar. Kami berharap selepas ini akan terjalin hubungan dua hala dalam memantapkan perancangan program-program yang akan datang,” tambahnya lagi.
Siri kedua, atau lebih dikenali sebagai ‘Countdown to Deepavali: Stories, Traditions and Unity,’ merupakan forum yang telah dijalankan secara langsung di platform Facebook Live Kolej Ungku Omar. Dalam forum ini, Omperasath Anganathi, Pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Tamil dari UPSI dan Nikita Deshpande, pelajar antarabangsa yang mewakili USM-KLE International Medical Programme, India telah mendiskusikan topik yang bertemakan ‘Perayaan Deepavali’ dengan berkongsi pandangan serta cerita menarik mereka akan keunikan perayaan Deepavali.
Penolong Pegawai Tadbir KUO, Hafiz Abd Manap berkata “Sebagai warga UPSI, kita perlu menerapkan semangat perpaduan antara satu sama lain supaya kita dapat mengenali budaya dan adat setiap masyarakat. Umumnya, UPSI mempunyai pelbagai latar belakang kakitangan UPSI, mahasiswa dan sebagainya yang mempunyai agama dan bangsa yang berbeza. Oleh itu, dengan program sebegini kita dapat menerapkan hormat-menghormati agama dan budaya masing-masing.”
‘Countdown to Deepavali KUO’ telah memenuhi tujuannya dengan cemerlang, merentas sempadan budaya, merapatkan hubungan, dan mengukuhkan pemahaman tentang budaya India. Program ini bukan sahaja memberi peluang untuk merayakan Deepavali, tetapi juga untuk mengeratkan lagi hubungan perpaduan bersama khususnya kakitangan UPSI, mahasiswa UPSI dan komuniti Tanjong Malim.