Oleh: Ahmad Danish Irfan
Tanjong Malim: Karya sastera kini telah hampir mati ditelan zaman dek kerana perubahan era-modenisasi yang semakin berkembang pesat. Pelbagai nukilan daripada para sasterawan negara yang memperjuangkan keindahan bahasa serta budaya perlu dihargai agar keaslian identiti sastera melayu ‘tak lapuk di hujan, tak lekang dek panas’.
Pada 10 November 2023 yang lalu, pihak Majlis Mahasiswa Kolej Awang Had Salleh dengan kerjasama Fakulti Muzik dan Seni Persembahan telah mengambil inisiatif hasil cetusan idea daripada Dewan Bahasa dan Pustaka untuk menjayakan program Apresiasi Drama Pentas Sasterawan Negara: Dato’ Anwar Ridhwan yang berjudul Pulang. Pementasan yang dilakukan di Panggung Tinta Pesona, Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, UPSI ini telah melibatkan seramai 100 orang mahasiswa yang terdiri daripada penghuni Kolej Awang Had Salleh (KAHS).
“Saya yakin dan percaya, pementasan pada malam ini merupakan sebuah pementasan yang menarik serta dapat mendidik mahasiswa dan komuniti untuk bersama-sama memartabatkan kembali karya-karya sastera yang penuh dengan nilai dan pengajaran walaupun ini merupakan pementasan pertama buat pelajar semester 1 Diploma Teater dari Fakulti Muzik & Seni Persembahan.”
Roznim Rasli yang juga perasmi merangkap Timbalan Pengarah Pusat Kokurikulum, UPSI amat berbangga dengan pelaksanaan pementasan ini kerana beliau yakin dan percaya bahawa medium ini mampu menjadi platform yang terbaik kepada golongan remaja.
“Pendekatan pihak Kolej Awang Had Salleh dan Fakulti Muzik & Seni Persembahan yang berkonsepkan kepada pementasan teater ini merupakan cara yang paling efektif dalam menjentik hati masyarakat bagi memastikan mereka cakna dan tidak alpa dengan karya sastera yang telah dihasilkan,” ujar Aris Othman selaku Pengerusi Badan Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka semasa ditemuduga oleh penulis. Beliau turut menghargai kerjasama yang harmoni antara tiga pihak tersebut dalam menjayakan pementasan ini.
Turut hadir memberikan sokongan dan pembakar semangat kepada para pelakon adalah Zaidi Omar yang merupakan pelakon terkemuka tanah air juga pembawa watak Rustam dalam teater Pulang yang pernah dipentaskan sebelum ini. “Ini merupakan satu langkah yang hebat dari adik-adik semua, pastikan ini merupakan langkah pertama dalam dunia seni. Cintailah watak dan sampaikan mesej cerita ini kepada masyarakat,” katanya.
Dr. Shuradi yang juga merupakan Pengarah Persembahan berkata “Semua karya daripada Dr. Anwar merupakan satu karya yang berat, namun berkat usaha dan semangat pihak team Pulang untuk menyampaikan karya ini pada penonton, pementasan ini dapat disampaikan dengan baik.”
“Selain itu, pementasan karya Pulang tidak dapat dinafikan lagi bahawa karya ini adalah satu karya yang boleh digelar sebagai satu fenomena dan pengalaman yang menarik bagi seorang seorang penonton mahupun peminat pementasan sekalipun,” ujar Dr Ariff semasa sesi refleksi dilakukan.
Semoga usaha ini menjadi penyuntik semangat anak-anak seni untuk terus berkarya dan menyampaikan jiwa seni kepada masyarakat dan komuniti sama ada dalam atau luar negara. Penghargaan yang tinggi juga diucapkan buat Dewan Bahasa & Pustaka atas suntikan dana bagi menjayakan pementasan ini. Diharapkan kerjasama selepas ini dapat dijalinkan lagi seterusnya diperkasakan dari semasa ke semasa.