Oleh: Fatin Nadiah & Nur Sharmila

Tanjong Malim- Majlis Mahasiswa Kolej Aminuddin Baki Sidang 2023/2024 baru baru ini  telah menyambut kedatangan SMK Guntong, Setiu, Terengganu dengan penuh keterujaan bagi menjayakan program ‘Academic Adventure: UPSI Unveiled’  yang telah berlangsung pada 1 hingga 3 November, bertempat di Kolej Aminuddin Baki, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Program ini merupakan program lawatan sambil belajar yang melibatkan peserta dari  SMK Guntong, Setiu, Terengganu seramai 67 orang pelajar dan 10 orang guru pengiring. Tujuan utama lawatan ini diadakan adalah bagi memberikan pendedahan awal kepada para pelajar tentang kehidupan mahasiswa dan mahasiswi UPSI serta menyuntik semangat kepada para pelajar sebelum menghadapi SPM di samping menikmati kemudahan prasarana menarik yang terdapat di Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Menurut Datin Wan Nurul Hidayu selaku Penasihat Program yang turut hadir memberikan komitmen sepanjang program ini berlangsung. “Ini adalah sebahagian promosi untuk menarik minat semua pelajar SMK Guntong Setiu, Terengganu untuk memilih Universiti Pendidikan Sultan Idris sebagai pilihan pertama untuk melanjutkan pelajaran,” katanya.

Pelbagai tempat menarik yang dilawati oleh para pelajar dan guru pengiring antaranya UPSI Adventure Park, Arena UPSI, UPSI Digital Library dan Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan yang bertempat di Kampus Sultan Azlan Shah manakala di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, delegasi lawatan berkesempatan berkunjung di Muzium Pendidikan Nasional dan Perpustakaan Tuanku Bainun.

Program ini juga diisi dengan pelbagai slot latihan kendiri yang dikendalikan oleh fasilitator dalam kalangan Majlis mahasiswa Kolej Aminuddin Baki sidang 2023/2024 bagi melahirkan insan yang berfikiran kreatif dan kritis. Selain itu, aktiviti tersebut juga mampu mengeratkan hubungan silaturahim dan juga menerapkan adab yang perlu diamalkan antara pelajar dan guru.

“Kami selaku mahasiswa dan mahasiswi UPSI juga turut diterapkan adab dan akhlak dalam usaha mencapai kecemerlangan akademik serta menjadi pendidik yang dihormati di zaman serba canggih ini,” ujar Rabiatul Ayiesah, Pengarah Program ‘Academic Adventure: UPSI Unveiled’.

Semoga usaha dan inisiatif yang dilaksanakan ini mampu menyuntik semangat calon Sijil Pelajaran Malaysia SMK Guntong Setiu untuk lebih bermotivasi dan komited dalam memberikan usaha yang terbaik dalam proses pengajaran dan pembelajaran seterusnya menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Sesi fotografi bersama delegasi lawatan dari SMK Guntong Setiu, Terengganu
Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)