Oleh: Nurmaslinda Ayuni & Ahmad Danish Irfan

BIDOR- Aktiviti gotong-royong dalam kalangan masyarakat pada masa kini jarang sekali dilakukan kerana kekangan masa serta komitmen setiap individu yang bekerjaya. Disebabkan itu, sesetengah komuniti setempat tidak dapat menjayakan aktiviti ini dengan baik sekaligus tidak dapat menjamin kebersihan dan kesejahteraan serta hubungan silaturahim antara satu sama lain.

Sehubungan dengan itu, Majlis Mahasiswa Kolej Awang Had Salleh telah mengambil inisiatif dengan kerjasama Majlis Daerah Tapah, Pusat Kesihatan Daerah Tapah dan Kolej Komuniti Tapah menjayakan program Gotong Royong Cegah Denggi dan Banteras Sampah Haram pada 4 November 2023. Seramai 42 orang penghuni Kolej Awang Had Salleh (KAHS) telah bekerjasama bersama komuniti setempat Taman Impian Jaya, Taman Maju Jaya dan Taman Gemilang di Bidor bagi menjayakan program gotong-royong ini. 

Para sukarelawan yang sedang mengutip mengutip sampah di sekitar Taman Impian Jaya, Taman Maju Jaya dan Taman Gemilang

A.Sivanesan, Exco Sumber Manusia, Kesihatan dan Hal Ehwal Masyarakat India merangkap ADUN Sungkai berkata program tidak boleh diadakan secara bermusim tetapi perlu dilakukan secara berkala  bagi menjaga hubungan baik antara komuniti dan pelajar institut pengajian di sekitar.

A.Sivanesan, Exco Sumber Manusia, Kesihatan dan Hal Ehwal Masyarakat India ketika memberikan ucapan semasa majlis penutupan

“Saya yakin dan percaya, walaupun program ini merupakan program yang berskala kecil namun amat memberikan impak yang tinggi terhadap masyarakat setempat. Selain itu, program seperti ini juga dapat mendidik mahasiswa untuk menyantuni setiap lapisan masyarakat selain dapat meningkatkan tahap kebersihan kawasan taman ini,” katanya.

Profesor Dr. Norkhalid Salimin, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) juga berbangga dengan inisiatif daripada Majlis Mahasiswa Kolej Awang Had Salleh ini kerana ia satu usaha murni dalam memasyarakatkan universiti. Ia juga satu anjakan dalam memastikan bakal graduan UPSI ini bukan sahaja cemerlang akademik semata-mata tetapi juga cemerlang dalam akhlak dan adab.

Dr. Mardiana Ismail, Pengetua Kolej Awang Had Salleh juga mangalu-alukan mana-mana agensi kerajaan ataupun swasta untuk berkolaborasi dan bekerjasama bersama pihak Kolej Awang Had Salleh dalam menjayakan aktiviti komuniti seperti ini. Beliau yakin, dengan usaha seperti ini dapat memberikan pengalaman berprogram di luar universiti kepada penghuni-penghuni kolej tersebut. 

Dr.Mardiana Ismail bergambar bersama pensyarah dan sukarelawan daripada Kolej Komuniti Tapah.

Diharapkan program ini dapat menyuntik semangat kerjasama dalam kalangan belia agar terus dapat menyumbang tenaga sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam menjamin kesejahteraan komuniti setempat dan kebersihan komuniti setempat.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)