Oleh: Hafiz Abd Manap dan Aldianie Alim

Tanjong Malim, 4 November 2023–  Malaysia terkenal dengan kekayaan permainan tradisional yang tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas. Sayangnya permainan tradisional yang menunjukkan kebudayaan sesuatu tempat itu mula sedikit demi sedikit terpinggir apabila kebanyakan daripada permainan berkenaan kurang diketahui golongan muda. Malah permainan tradisional semakin dilupakan akibat perkembangan pesat teknologi gajet dan penambahan aplikasi permainan secara maya.

Penganjuran aktiviti bagi setiap hari sabtu minggu pertama setiap bulan di bawah Pusat Tanggungjawab portfolio Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) ini telah digunakan sebaiknya dalam usaha mengekalkan tradisi rakyat ini. Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar (MMK KUO), UPSI tampil dengan mengambil inisiatif menganjurkan Karnival Sukan Rakyat (KASURA) bertempat di Pasar Budaya UPSI.

Program yang bermula seawal pukul 8.00 pagi dimulakan dengan Brisk Walk dan Zumba kemudian diikuti dengan permainan tradisional tarik tali, batu Seremban, congkak dan memanah. Program ini dimeriahkan lagi oleh Kelab Kombo daripada Pusat Kebudayaan, UPSI yang mengiringi sepanjang program dengan aktiviti busking. Pelajar daripada Universitas Negeri Padang, Indonesia juga turut mengambil bahagian dalam menghiburkan pengunjung dengan lagu-lagu yang dibawa daripada negeri mereka seperti lagu Rungkad yang dipopularkan oleh Happy Asmara.

Program ini memberi peluang kepada penduduk sekitar Tanjong Malim dan pelajar UPSI untuk membuka gerai jualan sepanjang program berlangsung. Sebanyak 54 buah gerai telah memenuhi ruang Pasar Budaya dengan kepelbagaian jualan pakaian terpakai, buku, makanan, kraftangan dan pewangi. Dengan peluang yang diberikan ini, dapat membantu menggalakkan pertumbuhan ekonomi para peniaga kecil di Tanjong Malim.

Pengarah program, Debora Brundang berkata, Program KASURA merupakan antara usaha memartabatkan permainan tradisional di Malaysia, khususnya warga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi memupuk minat terhadap permainan tradisional walaupun agak mencabar berikutan perubahan modenisasi yang semakin mempengaruhi corak hidup generasi Z.

“Mutakhir ini, generasi Z lebih terikat dengan permainan gajet yang melahirkan budaya tidak sihat jika tidak dikawal dari awal. Sehubungan itu, dengan wujudnya program seperti ini ia mampu mengalih sementara pandangan golongan berkenaan daripada gajet seterusnya membantu keseimbangan kesihatan, jasmani dan rohani masyarakat.”

Menurut Prof. Madya Dr. Mohd Nizam, Pengetua Kolej Ungku Omar, sukan adalah instrumen terbaik untuk perpaduan rakyat serta platform penyatuan Malaysia Madani yang merupakan satu daripada fokus Kerajaan Perpaduan. Malah pada acara sukan tidak kira sukan moden mahupun tradisional, beliau berkata, rakyat berbilang kaum serta agama dapat dilihat bersama-sama memberi sorakan dan tepukan semangat kepada peserta yang menyertainya. Beliau turut terharu dengan kehadiran hampir 2,500 pengunjung yang hadir memeriahkan karnival ini yang terdiri daripada pelajar dan kakitangan UPSI serta orang awam.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)