Oleh: Nurul Ainie Abdullah (Pegawai U-Media PPA)
Tanjong Malim, 6 November – Majlis Apresiasi SULAM 2023 telah diadakan di Dewan Muallim, Scholar Suite’s UPSI yang merupakan salah satu platform untuk memberi pengiktirafan dan meraikan ahli akademik serta pelajar yang telah melaksanakan SULAM dan pelbagai hasil inovasi PdP bagi memastikan keberkesanan kursus yang dijalankan. Turut mendapat pengiktirafan adalah beberapa komuniti yang bergiat aktif dalam Program SULAM juga hadir seperti SK Proton City, SMK Proton City, Tadika Brainy Germs, Kerling Selangor, Tadika Pasti Al-Husna, Hulu Bernam, Masjid Jamek Behrang Ulu, Tg Malim dan Ma’ahad Al-Abbasiah, Sungkai.
Seramai 42 orang Pensyarah UPSI dari 10 fakulti yang terdiri daripada pelaksana Program SULAM telah diberi sijil penghargaan bagi menghargai khidmat mereka dalam menjalinkan program kerjasama bersama komuniti setempat. Manakala Fakulti Sains dan Matematik dan Fakulti Bahasa dan Komunikasi telah memenangi Anugerah Pelaksanaan Projek Sulam Terbanyak 2023. Kedua-dua fakulti tersebut telah menjalankan Projek SULAM bagi hampir semua program yang ditawarkan.
Selain itu, Anugerah Komuniti Paling Aktif bagi Kategori Sekolah Menengah diberikan kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Proton City dan Anugerah Komuniti Paling Aktif bagi Kategori Sekolah Rendah pula diterima oleh Sekolah Kebangsaan Proton City. Kedua-dua komuniti ini menerima anugerah kerana giat menjalankan Projek SULAM bagi program-program lain yang melibatkan pelbagai fakulti. Mereka turut menerima sijil penghargaan dan juga trofi.
Prof. Dr. Marzita Puteh, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) berkata, “UPSI turut merasa bangga kerana terdapat dua penyertaan telah terpilih sebagai finalis bagi Pertandingan Sulam Innovate 2023 iaitu pelajar-pelajar di bawah penyeliaan Prof. Madya Dr. Syakirah Syamsuddin dari Fakulti Sains dan Matematik,’’ katanya yang hadir bagi merasmikan Majlis Apresiasi SULAM 2023.
SULAM telah mula dilaksanakan di UPSI secara berperingkat sejak 2019 dan kini SULAM merupakan salah satu KPI fakulti dan universiti.