Oleh: Sofia Zulaikha Mohd Padzir & Cik Ummikalsum Mat Lazim
Tanjong Malim- Penganjuran sulung sesi Town Hall Persatuan Tahfiz Al-Quran dan Qiraat dilihat sebagai pendekatan terbaik kepada persatuan untuk mendapatkan maklum balas, cadangan atau pandangan daripada ahli. Program Townhall PTQ ini merupakan suatu usaha untuk memperkenalkan barisan pimpinan yang baharu bagi sidang 2023/2024 yang dipimpin oleh Ahmad Hadif Furqan Zakaria selaku Yang Dipertua Persatuan Tahfiz Al-Quran dan Qiraat.
Program ini juga dijalankan bagi membentangkan program-program yang akan dijalankan sepanjang sidang. Hal ini tidak lain dan tidak bukan, bagi menarik lebih ramai ahli persatuan untuk menyertai segala program yang dirancang.
Tujuan program ini dilaksanakan adalah bagi merealisasikan hasrat dan inpirasi kerajaan dalam menjadikan Malaysia Madani sebagai negara yang mempunyai rakyat yang mempunyai minda rentas ideologi terutamanya dalam kalangan pelajar sehingga ia menjadi satu budaya hidup dalam kalangan rakyat negara ini. Sejajar dengan sasaran kerajaan, Sofia Zulaikha Mohd Padzir, pengarah program merangkap Timbalan Setiausaha Persatuan Tahfiz Al-Quran dan Qiraat telah menggembleng tenaga bersama jawatankuasa program untuk memastikan Program Townhall mendapat sambutan yang menggalakkan daripada seluruh ahli persatuan.
Di samping itu, tujuan utama program ini dijalankan juga bagi mendengar suara-suara mahasiswa PTQ yang ingin menyuarakan pendapat mereka berkenaan isu-isu yang berlaku dalam PTQ serta memberikan peluang kepada mahasiswa PTQ serta pensyarah-pensyarah PTQ untuk memberikan cadangan tentang program yang akan dijalankan dan penambahbaikan yang boleh dilakukan oleh barisan kepimpinan sidang 2023/2024. Hal ini bagi memastikan program-program yang dijalankan akan mendapat sambutan dan memenuhi kriteria-kriteria KPI program persatuan.
Seterusnya, ia juga akan mewujudkan semangat yang jitu dalam kalangan ahli dan pensyarah untuk memberikan sokongan dan kepercayaan yang penuh kepada persatuan disamping meraikan pelajar baharu kemasukan Oktober 2023/2024 untuk mengenali ahli persatuan yang lain dan pensyarah-pensyarah PTQ.


Penasihat Persatuan Tahfiz Al-Quran dan Qiraat, Ummikalsum Mat Lazim berkata, “program ini dalam masa sama, inisiatif seumpamanya memberi peluang kepada untuk mengenali semua ahli dengan lebih dekat sekaligus mewujudkan kefahaman sesama ahli dan menyediakan ruang interaktif untuk ahli bersemuka dan bertanya soalan dengan pimpinan persatuan”.
Oleh itu, hubungan kekeluargaan akan dapat dibentuk seterusnya membina persatuan yang aman dan harmoni. Adalah menjadi harapan agar Program Townhall PTQ ini akan menjadi pembakar semangat kepada mahasiswa untuk memberikan kepercayaan kepada tampuk kepimpinan.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada para penganjur dan semoga program sebegini dapat diadakan lagi di masa akan datang supaya dapat memberikan ruang mahasiswa lebih proaktif mengembangkan idea dalam merebut peluang sebegini pada masa akan datang.
