Oleh: Tanjong Malim: Kolam merupakan seni lukisan yang dibuat diatas lantai dan ia adalah salah satu daripada tradisi masyarakat India. Seni kolam ini akan banyak dijumpai menjelang perayaan Deepavali. Perkataan ‘kolam’ itu sendiri membawa maksud indah atau cantik dalam bahasa tamil.

Menurut Rozak Hadi, pendidik di Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC) mengatakan bahawa kolam merupakan satu seni lukis yang cantik, kreatif dan meriah dengan gabungan corak, warna dan tema yang pelbagai dan berwarna warni. Selain itu juga, ia mempunyai maksud dan nilai kebajikan dalam seni lukis ini.

“Seperti yang saya faham, kolam dibuat dari susunan beras yang diwarnakan dengan konsep lukisan abstrak yang menggambarkan perayaan kaum india iaitu deepavali.  Kolam adalah salah satu cara untuk mereka membuat kebaikan kepada makhluk hidup lainnya seperti burung, semut dan sebagainya,” katanya.

Pembuatan kolam juga memerlukan kesabaran dan ketelitian. Sebagai pendidik, seni kolam ini menerapkan nilai kesefahaman dan kerjasama antara guru dan murid untuk menghasilkan sebuah seni abstrak dan bermakna.

Dua orang mahasiswa program pendidikan khas UPSI iaitu Mohd Akmaluddin Syarif Mohd Noor dan Nur Masyaerah Kamaruzaman bersama guru pendidikan khas di SMK Khir Johari, Tanjong Malim memasukkan seni kolam sebagai aktiviti kokurikulum bagi murid pendidikan khas.

Menurutnya, seni kolam dapat memberi ruang murid pendidikan khas untuk bekerja didalam kumpulan dan menjngkatkan kemahiran sosial mereka.

“Pelaksanaan seni kolam dalam aktiviti kokurikulum tidak hanya sebagai keperluan pembelajaran sahaja malahan ia dapat menyediakan ruang kepada murid PPKI untuk bebas berkreativiti disamping dapat meningkatkan kemahiran mereka dari segi kognitif, psikomotor dan sosial,” katanya.

NCDRC juga tidak melepas peluang untuk menerapkan seni kolam kedalam pengajaran dan pembelajaran kanak-kanak di taska dan tadika dengan menganjurkan Festival Indian Art yang berlangsung pada 24 November bertempat di Bilik Seni Kreatif NCDRC.

Festival Indian Art menerapkan nilai perpaduan antara guru, murid dan staf sokongan sekaligus meraikan kaum india yang ada bersama di NCDRC Blok D.

Di sini juga kanak-kanak dikenalkan dengan juadah makanan masyarakat India dan menikmati bersama kelazatan kuih-muih yang dibawa oleh guru dan ibubapa.

Pendekatan seni kolam ini membuktikan kepelbagaian ragam kaum yang ada di UPSI dipenuhi dengan rasa hormat dan saling menghargai antara satu sama lain.

Penglibatan mahasiswa UPSI dalam komuniti di sekolah juga membawa makna kemenjadian mahasiswa yang boleh memberi sumbang bakti dalam masyarakat sekaligus membawa nama UPSI sebagai universiti pendidikan yang melahirkan bakal pendidik yang berkaliber dan berdaya saing dalam industri pendidikan negara.