Tanjong Malim: Program Fiqh Nisa’ Siri 2/2023 yang telah diadakan pada 27 Disember 2023 yang berlangsung secara dalam talian di Mini Studio Pusat Islam, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Ceramah telah disampaikan oleh mantan pensyarah Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Dr. Shamsiah Mohamad. Pilihan tajuk kali ini adalah ‘Keliru antara Haid atau Istihadhah’. Penceramah menjelaskan istihadhah ialah darah yang keluar bukan pada masa haid dan juga nifas. Ia berpunca daripada pendarahan wanita yang tidak normal apabila berlaku di luar tempoh kitaran haid ataupun dari segi kuantiti pendarahan. Pendarahan jenis ini berpunca daripada organ rahim dan bukannya dari pundi kencing atau kecederaan pada bahagian kemaluan untuk digelar sebagai istihadah. Masalah istihadah ini merupakan sesuatu gejala dan bukannya punca penyakit.
Dalam program ini dapat menjelaskan tentang darah haid dan istihadhah dan membezakan antara darah istihadhah dan darah haid. Di samping itu, penonton juga dapat mengetahui dengan lebih jelas tentang punca berlaku atau gejala istihadhah serta menjelaskan kedudukan wanita yang mengalami darah istihadhah pada hukum Syarak.
Program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan oleh peserta yang terdiri daripada pelajar UPSI. Para peserta dapat berinteraksi dan soal jawab bersama penceramah melalui Google Meet dengan baik serta dapat memahami dan membezakan antara darah haid dan istihadhah.