Kuala Kubu Baru- Program Santun Masyarakat (PSM) ‘Scratch Jr.’ telah dilaksanakan oleh pelajar Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (META), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi melengkapkan keperluan kursus Insan Guru Professional (KPG3013).
Program ini melibatkan seramai 21 murid tahun 6 Sekolah Kebangsaan Kuala Kubu Bharu 1 dan dikendalikan oleh lima fasilitator. Melalui program ini, murid didedahkan kepada antara muka perisian Scratch, cara-cara untuk menyusun blok pengaturcaraan dan juga menguji blok pengaturcaraan.


Bagi meningkatkan minat dan keseronokan, peserta diminta menyediakan permainan digital mengikut kreativiti masing-masing.
Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Fauziah Sukar berkata, “Program Scratch Jr. ini telah banyak memberi pendedahan kepada murid-murid untuk meneroka lebih dalam lagi mengenai aplikasi scratch. Terdapat beberapa perkara baharu yang sebelum ini mereka tidak pernah tahu, namun setelah program ini dijalankan, mereka lebih memahami dan menguasai aplikasi ini melalui bantuan yang didedahkan daripada fasilitator. Murid-murid kelihatan gembira dan memahami scratch dengan baik,” katanya.