Kuala Kubu Bharu- Program Santun Masyarakat (PSM) “Smart Musollah: Teknologi Penghidup Masjid” telah dilaksanakan oleh enam pelajar Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi bagi memenuhi keperluan kursus Insan Guru Professional (KPG3013).

Program ini telah dirasmikan oleh Nazir Masjid Kampung Gesir iaitu Fadhil Kadir dan dihadiri oleh Pensyarah Kursus Insan Guru Profesional Dr Yusri Abdullah. Objektif utama program ini adalah untuk mengenal pasti keperluan pihak pengurusan masjid dalam bidang teknologi serta merancang dan melaksanakan latihan berkenaan penggunaan media sosial dan manfaatnya.

Melalui program ini, pelajar mengaplikasikan kemahiran digital dalam mereka bentuk paparan pengumuman dan slaid khutbah yang akan ditayangkan melalui TV Pintar. Selain itu, pelajar juga telah menghasilkan sudut ilmu dan sudut ICT,  kod QR bagi sumbangan masjid, penyediaan nasyid, zikir dan bacaan al-quran dalam format digital serta infografik ringkas tatacara penggunaan teknologi komputer dan mesin pencetak.

Hasil sumbangan pensyarah dan orang awam, program ini juga berjaya membeli sebuah projektor bagi keperluan ceramah.

Fadhil Kadir menyatakan bahawa beliau amat berbesar hati untuk menerima kunjungan pelajar UPSI kerana masjid tersebut jarang menerima kunjungan dan beliau amat berterima kasih kepada pelajar META kerana memilih komuniti khususnya masjid sebagai institusi untuk menjalankan program berimpak ini bagi memenuhi keperluan kariah masjid berkenaan.