Oleh : Maizatulakmar Zaini & Siti Nur Shakira Sardianto

TANJONG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK) telah menjayakan Program Small Act Better World melibatkan penyertaan seramai 70 orang murid-murid darjah 4 Sekolah Kebangsaan Tanjong Malim (SKTM) pada 10 Januari yang lalu.

Program yang berlangsung pada jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari ini telah dikendalikan oleh 22 orang ahli jawatankuasa di bawah pimpinan Exco Kesukarelawanan Alam Sekitar, Majlis Mahasiswa Kediaman Luar Kampus (MMKLK). Program ini bertujuan menyemai rasa tanggungjawab dan cintakan alam sekitar dalam kalangan murid-murid sejak di bangku sekolah lagi. Melihat kepada isu alam sekitar hari ini seperti kejadian banjir kilat, tanah runtuh, gempa bumi dan pemanasan global, program kesedaran seperti ini dilihat sebagai satu inisiatif yang amat wajar dan perlu diberi pendedahan di peringkat awal persekolahan ibarat pepatah “melentur buluh biarlah dari rebungnya.” Selain memberi kesedaran penjagaan alam sekitar, program ini juga secara tidak langsung dapat mengukuh jalinan kerjasama antara UPSI dengan pihak SKTM.

Dr. Che Ghani Che Kob sewaktu ucapan

Pengetua UKLK, Profesor Madya Ts. Dr. Che Ghani Che Kob sewaktu berucap dalam program ini berkata isu kebersihan seperti lambakan sampah sarap, hakisan tanah, dan pencemaran udara yang meruncing dalam negara telah banyak memberi impak negatif kepada generasi masa kini. Oleh itu, beliau menyeru semua pihak untuk bersama-sama berganding bahu menjaga kebersihan alam sekitar agar masa depan yang lebih sihat dapat dicipta bermula daripada tindakan kecil menerusi program yang dilaksanakan ini.

Majlis perasmian program ini telah disempurnakan oleh Guru Besar SKTM, Abu Yazid Jaafar. Pelbagai aktiviti yang menarik telah dijalankan dalam program ini termasuklah acara menanam pokok, slot perkongsian kesedaran alam sekitar, teknik penghasilan baja kompos menggunakan bahan kitar semula, acara sukaneka dan lain-lain lagi.

Diharapkan program yang dijalankan ini dapat memberi impak yang besar dalam diri murid-murid SKTM khususnya dan warga Muallim umumnya serta mampu mengubah dunia ke arah yang lebih baik dengan melahirkan generasi yang bertanggungjawab dan prihatin terhadap kelestarian alam sekitar.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)