Oleh: Aida Najwa Zahidan & Ahmad Shazwi Ahmad Shukri

TANJONG MALIM–  Pusat Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK) UPSI telah melaksanakan program Mental Health Advocates Siri 1 yang bermanfaat dalam kalangan mahasiswa terutamanya mengenai masalah kesihatan mental pada 19 Januari yang lalu.

Program yang terdiri daripada 80 orang pelajar ini  bertujuan memberikan input dan pengetahuan mengenai kawalan emosi, jenis penyakit mental dan cara paling ampuh untuk mengatasinya. Berlangsung di ruang legar Bitarasiswa UPSI, pelaksanaan program ini dapat memberikan info berguna kepada mahasiswa tentang langkah yang boleh diambil untuk mengawal emosi dalam pelbagai keadaan malah menjadi platform untuk memberi pendedahan berkaitan masalah mental kepada mahasiswa.

Menerusi penganjuran program ini, mahasiswa juga dapat mengenali dengan lebih dekat perkhidmatan yang diberikan oleh Pusat Kaunseling UPSI serta UKLK dalam usaha membantu mahasiswa yang kini terdedah dengan pelbagai tekanan tidak kira dari sudut akademik, sosial mahupun peribadi. 

Dr. Pau Kee (kiri) bersama  Prof Madya Ts Dr. Che Gani (tengah) dan Fennie Yong (kanan)

Program ini telah dirasmikan oleh Dr Pau Kee, Pengarah Pusat Kaunseling dan turut dimeriahkan dengan kehadiran Prof Madya Ts Dr. Che Gani Che Kob sebagai panel jemputan serta mahasiswa UPSI. Beliau telah memberikan perkongsian mengenai isu-isu yang terjadi di luar kampus serta strategi yang digunakan dalam mengatasi masalah tersebut.

Perkongsian Dr Che Gani yang mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang kesihatan mental dan mengendalikan isu yang berlaku di kediaman  luar kampus telah membuka mata semua peserta mengenai kepentingan mengendalikan isu kesihatan mental dengan baik dan strategik. Kaedah untuk mengatasi dan mengawal emosi turut dikongsikan olehnya. Mahasiswa yang terlibat dalam program ini dapat berkongsi dengan pengunjung yang hadir tentang pengetahuan psikologi abnormal dan mengaplikasikan kemahiran yang ada.

Pameran ini dilaksanakan sebagai satu medium perkongsian mengenai jenis penyakit mental dan cara mengatasinya sekaligus dapat memastikan mahasiswa lebih cakna dan mengambil berat tentang masalah mental yang kian meningkat terutama dalam kalangan mahasiswa

Seluruh mahasiswa serta warga UPSI diharapkan agar bersama-sama menggembleng usaha untuk mengurangkan statistik penyakit mental dalam kalangan warga UPSI. Program Mental Health Advocates Siri 1 diakhiri dengan sesi bergambar bersama jemputan dan para pengunjung yang hadir.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)