Tanjong Malim – Merentas arus pemodenan dengan perkembangan teknologi yang semakin pesat ini, Gen Z seharusnya berani menyahut cabaran untuk keluar dari kepompong selesa dan mula meneroka kepelbagaian teknologi masa kini.

Permulaan tahun 2024 tidak diisi dengan gelak tawa sahaja. Sahabat Alumni Mahasiswa (SAM) dengan kerjasama erat Persatuan Multimedia Kreatif (PMK) dan Gabungan Mahasiswa Selangor dan Kuala Lumpur UPSI (GEMASEK) mengambil peluang untuk mengadakan perkongsian ilmu melalui Bengkel Mastering Adobe Illustrator (AI) yang bertujuan untuk memberikan pendedahan berkenaan dengan pengaplikasian Adobe Illustrator (AI) kepada mahasiswa UPSI.

Panel jemputan khas daripada syarikat Les’Copaque, Luqman Hakim Hanapiah yang juga merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Reka Bentuk (Animasi) dengan Kepujian yang mendapat Anugerah Diraja sempena majlis istiadat Konvokesyen Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ke-24 tampil berkongsi ilmu Adobe Illustrator (AI). Beliau yang telah dinobatkan sebagai juara ACA Championship Malaysia 2019 memberi pendedahan dari segi asas dan teori kepada 88 orang peserta.

Menurut Adham Nizam selaku Yang Dipertua Sahabat Alumni Mahasiswa UPSI, “Pelbagai kemahiran dalam menggunakan dan mengaplikasikan tools dalam perisian dapat dipertingkatkan melalui perkongsian ini.”

“Tidak dinafikan, pelajar yang mahir dalam menggunakan Adobe Illustrator (AI) sangat beruntung apatahlagi di era ini di mana semua orang sedang berlumba-lumba mendapatkan pekerjaan yang tetap. Penguasaan dalam Adobe Illustrator (AI) ini memberi peluang pekerjaan yang luas kepada sesiapa yang memanfaatkannya” tambah beliau lagi.

Semoga dengan pendedahan dalam pengetahuan perisian Adobe Illustrator dapat membantu para mahasiswa UPSI bergerak seiring dengan kemajuan dalam bidang reka cipta animasi dan grafik. Terima kasih diucapkan kepada Muhammad Luqman Hakim, alumni AKSB yang terus bersemangat untuk menyumbang ilmu, pengalaman kepada mahasiswa UPSI untuk sama-sama menaikkan nama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)