Oleh: Ainur Raihanis dan Noor Suhailah

Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim – “Biar mati anak jangan mati adat” itulah peribahasa yang acap kali didengar apabila berkata mengenai warisan dan budaya. Warisan dan budaya amat penting diterapkan kerana ianya melambangkan identiti tersendiri sesuatu bangsa. Malangnya, dalam meniti era pemodenan kini warisan budaya semakin tenggelam dek zaman.

Baru-baru ini, Exco Sukan dan Rekreasi Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar  telah menganjurkan program yang diberi nama Sukan Warisan Bangsa (SUWASA) yang disertai oleh 30 orang mahasiswa Universitas Pendidikan Indonesia (UPI), Universitas Bina Darma (UBD) dan sebahagian pensyarah pengiring. Program ini menjadi inisiatif dalam memperkenalkan dan mengembangkan warisan negara Malaysia.

Melalui program ini mahasiswa Indonesia dapat mengenali sukan dan permainan tradisional di negara Malaysia dengan lebih mendalam dan lebih menarik lagi mereka juga diberikan peluang bermain permainan tradisional seperti tapak gajah, galah panjang, merpati sepet, keting-ting bamboo dan balingan rentap.

“Program ini dilihat sebagai satu medium yang baik untuk memperkenalkan warisan budaya negara Malaysia kepada negara jiran iaitu Indonesia sekali gus mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan mahasiswa dan pensyarah mereka”, kata Prof. Madya Dr. Nizam Nasrifan, pengetua Kolej Ungku Omar.

Sudah terang lagi bersuluh bahawa program ini mampu memberi impak positif terutama dalam mengekalkan warisan bangsa. Tambahan lagi, warisan budaya dapat dikenalkan bukan sahaja dalam kalangan masyarakat Malaysia akan tetapi terhadap masyarakat dari negara luar.