Penulis: Sofea Maisarah dan Qatrun Nada

UPSI, Tanjong Malim – Gandingan Malaysia dan Indonesia memartabatkan seni dan budaya negara melalui program Archipelago Malaysia X Indonesia (ARSIA) yang menggabungkan warisan budaya berteraskan kebudayaan, akademik, kesukanan, perpaduan dan kesukarelawanan yang berjalan selama enam hari bermula 15 hingga 20 Januari.

Program silang budaya anjuran Exco Kesenian dan Kebudayaan, Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar dengan kerjasama Universitas Pendidikan Indonesia (UPI) dan Universitas Bina Darma (UBD) melibatkan penyertaan seramai 19 orang mahasiswa dan 11 orang pensyarah daripada universiti tempatan di Indonesia tersebut.

Archipelago yang membawa maksud Nusantara telah diambil sebagai mercu tanda bagi menggambarkan program ini yang selari dengan objektif utama program iaitu mendalami silang budaya antara dua negara Asia iaitu Malaysia dan Indonesia yang dapat memperkukuhkan hubungan dua hala khususnya di antara Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universitas Pendidikan Indonesia (UPI) dan Universitas Bina Darma (UBD).

Bagi menepati objektif tersebut, terdapat tujuh program yang dianjurkan sempena Arsia iaitu Ekspedisi Intelektual: Merentas Batas Budaya, International Symposium: Embrace Diversity, Explore Identities yangmerupakan forum bagi membicarakan isu semasa yang berlaku di Malaysia dan Indonesia, Sukan Warisan Bangsa (SUWASA) yang memperkenalkan permainan tradisional Malaysia kepada peserta Indonesia, Colors Across Culture bersifat kebudayaan seperti persembahan peragaan pakaian, tarian tradisional oleh mahasiswa Malaysia dan Indonesia dan persembahan seni mempertahankan diri iaitu silat daripada Persatuan Seni Silat Gayong, Malaysia, aktiviti kesukarelawan KUO FORCE: Sebutir Permata, Khazanah Negara, program Semanis Rasa Untuk Semua bagi meluaskan pengetahuan komuniti penduduk kampung, mahasiswa Malaysia dan Indonesia tentang makanan-makanan tradisional yang terdapat di Malaysia-Indonesia kemudian diakhiri dengan program ScA-XPDC.

Barisan pensyarah Indonesia bersama kakitangan Kolej Ungku Omar bergambar bersama penari Kolej Ungku Omar

Prof. Madya Dr. Nizam Nasrifan, pengetua Kolej Ungku Omar dalam ucapannya semasa Majlis Perasmian Penutupan Arsia berkata, “Saya bersyukur kerana program Arsia ini berjalan dengan lancar dengan jayanya seperti yang telah dirancang. Ini merupakan langkah kanan kepada Kolej Ungku Omar dalam memperbanyakkan program peringkat antarabangsa. Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pelajar UPSI, mahasiswa dan pensyarah Indonesia yang terlibat kerana sudi memberi komitmen sepanjang program ini berlangsung. Saya berharap dengan adanya program ini, hubungan baik antara UPSI dan Universitas Bina Darma serta Universitas Pendidikan Indonesia dapat dikekalkan”

Gimik perasmian penutupan Archipelago Malaysia x Indonesia yang disempurnakan oleh Prof. Madya Dr. Mohd Nizam Nasrifan, Pengetua Kolej Ungku Omar

Pengarah program Archipelago Malaysia x Indonesia, Asmadi Bohri, pengarah program Archipelago Malaysia x Indonesia merangkap Exco Kesenian dan Kebudayaan, Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar berkata, “Program ARSIA yang dilaksanakan ini memberi peluang kepada Malaysia dan Indonesia mengeratkan silaturahim antara satu sama lain. Selain itu, perkongsian idea, budaya, agama dan bangsa yang berlaku antara mahasiswa UPSI bersama mahasiswa dan pensyarah Indonesia ini dapat memperkukuhkan hubungan perpaduan negara berjiran melalui aktiviti-aktiviti yang telah dilaksanakan sepanjang enam hari program ini berlangsung.”

Jalinan kerjasama antarabangsa melalui program Archipelago Malaysia x Indonesia (ARSIA) ini telah mencapai objektif silang budaya melalui program-program bertaraf antarabangsa yang meluaskan pengetahuan yang beteraskan kebudayaan, akademik, sukan, sukarelawan  dan lain-lain lagi. Semoga Kolej Ungku Omar akan terus giat melakar kejayaan dalam melahirkan mahasiswa yang proaktif, kritis dan kreatif serta mampu membawa nama baik KUO khususnya UPSI sebagai medan bagi memperkasa budaya.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)