Oleh: Nuur Rifhan Mohd Khalid & Dr. Tajul Rosli Shuib

Tanjong Malim: Pusat Ulul Albab UPSI dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar UPSI telah menganjurkan Pertandingan Misi Pencarian Ikon Ulul Albab (IKON) 2023 dan Ulul Albab Innovation Competition Exhibition (UA-ICE) 2024 pada 12 hingga13 Januari bertempat di Auditorium Utama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Pertandingan IKON bertujuan mencungkil bakat peserta dalam pengucapan awam secara berstruktur dan spontan dengan menerapkan elemen-elemen Ulul Albab iaitu Quranik, Ensiklopedik dan Ijtihadik. Pertandingan ini dibahagikan kepada dua kategori iaitu sekolah menengah dan universiti.

Seramai 12 peserta peringkat akhir bagi kedua-dua kategori telah mempamerkan persembahan menarik dan kreatif untuk menambat hati juri. Saringan awal dan separuh akhir IKON 2023 telah bermula pada November 2023. Bagi kategori sekolah menengah, IKON 2023 diungguli oleh Salimah Mohd Tariq dari Maktab Rendah Sains MARA Gemencheh manakala bagi kategori universiti diungguli oleh Ahmad Pirdaus Saifullah, mahasiswa Tahfiz Al-Quran dan Qira’at dengan Pendidikan, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Selain trofi dan sijil, pemenang turut membawa pulang wang tunai RM1000.

Program Ulul Albab Innovation Competition Exhibition (UA-ICE) ini telah disertai seramai 112 peserta yang merangkumi 30 kumpulan daripada pelbagai institusi seperti MRSM Kepala Batas, SK Perlok, Politenik Ungku Omar, Kolej Universiti Islam Perlis, Universiti Sains Islam Malaysia, Jabatan Pendidikan Tinggi, IKM Lumut dan banyak lagi.

Program ini terbahagi kepada tiga kategori iaitu kategori sekolah, kategori IPT dan kategori Penyelidik. Tiga kumpulan bagi setiap kategori akan dipilih sebagai anugerah johan, naib johan dan tempat ketiga, dan tempat terbaik keseluruhan juga dipilih bagi merangkumi ketiga-tiga kategori sebagai terbaik keseluruhan yang diungguli oleh kumpulan A4L (Kolej Permata Insan Cawangan USIM) yang terdiri daripada Abdelrahman Ibrahim Suleiman Islaieh, Yahaya Basiron dan Rossidi Usop dan membawa pulang wang tunai RM1000, trofi dan sijil sebagai hadiah. Kumpulan A4L telah memperkenalkan tiga inovasi menarik iaitu Arabic for Lu’bah.

Tan Sri Dato Seri Idris Jusoh melawat pameran ICE

Majlis kemuncak perasmian penutupan bagi kedua-dua pertandingan ini dirasmikan oleh Tan Sri Dato’ Seri Idris Jusoh, Pengasas Pendidikan bercirikan Ulul Albab di Malaysia. Turut hadir ke majlis ini ialah Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UPSI, Profesor Dr. Abdul Rahim Razalli. Dalam ucapannya Tan Sri Dato’ Seri Idris bin Jusoh memuji usaha yang dilaksanakan oleh Pusat Ulul Albab dalam mengembangkan elemen-elemen Ulul Albab ke peringkat yang lebih luas serta mengharapkan penganjuran diteruskan secara tahunan. Beliau turut mengharapkan penyertaan dan sambutan yang lebih baik oleh mahasiswa universiti dan murid-murid sekolah. Buat pertama kalinya Tan Sri Dato’ Seri Idris Jusoh mengumumkan kepada umum berkenaan idea baharu beliau untuk melancarkan Projek Andalusia 2.0 bertujuan mengumpulkan ilmuan hasil pendidikan bercirikan Ulul Albab di serata Malaysia mirip mengembalikan kegemilangan ilmuan Islam terdahulu dan memulangkan khidmat bakti kepada masyarakat. Secara keseluruhannya, penganjuran IKON dan UA-ICE pada kali ini telah dilaksanakan dengan meriah dan jaya.

Johan Ikon Ulul Albab 2023 kategori sekolah & universiti
Finalis Ikon Ulul Albab 2023 kategori universiti

Pengarah Pusat Ulul Albab, Dr. Sakinah Salleh menzahirkan rasa syukur dengan kejayaan penganjuran pertandingan yang julung kali diadakan di peringkat kebangsaan. Pertandingan ini akan dijadikan acara tahunan yang melibatkan semua institusi pengajian tinggi dan sekolah yang memfokuskan kepada Ulul Albab.

Sesi bergambar bersama perasmi, tetamu kehormat dan peserta
Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)