TANJONG MALIM- Seramai 116 peserta yang terdiri daripada kakitangan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang dilantik sebagai pegawai U-Media dan 71 orang pelajar daripada pelbagai Unit Badan Pelajar UPSI telah menyertai Kem Pengkhususan Rakan Media dan Publisiti: Next To Be Journalist! yang berlangsung di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah pada 24 Januari lalu.
Kem Pengkhususan Rakan Media dan Publisiti: Next To Be Journalist! merupakan program kolaborasi bersama Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEPA), Bahagian Komunikasi Korporat (BKK) dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), UPSI. Program ini merupakan program pertama dijalankan secara besar-besaran yang melibatkan pelajar dan kakitangan UPSI dalam mendalami ilmu penulisan artikel berita dan dunia hubungan korporat bagi memperkayakan diri dengan pelbagai kemahiran dan mengembangkan potensi diri secara holistik pada masa hadapan.
Ketua Biro BERNAMA Perak, Syamsiah Sahat selaku penceramah slot Asas Teori dan Penulisan Berita menegaskan bahawa, “Dalam dunia media, pelbagai cabaran yang akan diharungi terutamanya apabila bekerja di lapangan dan berhadapan dengan orang namun semuanya akan mengajar kita untuk membantu kita dalam memperbaiki diri pada masa hadapan.”
“Sekiranya kita berhadapan dengan sesuatu situasi yang menyebabkan kita sedih mahupun kecewa, kita haruslah menerimanya dengan hati yang terbuka,” katanya lagi.
Manakala, Digital Content Creator, Hazly Damanhuri secara ringkasnya menyimpulkan bahawa peranan pengacara dalam sesebuah majlis bukan hanya bergantung kepada intonasi, kelantangan suara mahupun sebutan yang jelas, akan tetapi elemen yang paling penting adalah mengetahui atur cara majlis.
Program berbentuk ceramah ini memberikan peluang kepada para peserta untuk bertanyakan soalan kepada kedua-dua penceramah. Para penceramah turut berkongsi pengalaman mereka dalam bidang masing-masing dan menggalakkan para peserta untuk cuba menceburi lain-lain bidang bagi mengetahui minat dan bakat yang terpendam.
Selain daripada mendengar perkongsian ilmu tentang penulisan artikel dan hubungan korporat, para peserta juga turut diberi peluang untuk menjalani segmen praktikal secara berkumpulan yang memerlukan setiap kumpulan untuk menghasilkan karya penulisan masing-masing untuk dibincangkan bagi tujuan penambahbaikan.
Peserta juga telah diberi taklimat ringkas berkenaan gerbang berita E-Pena oleh Pegawai Tadbir dari BKK, Ramli Mosmin. Beliau juga turut menekankan tentang garis panduan penghantaran artikel untuk diterbitkan di E-Pena.
Semoga hasil daripada kem ini dapat membantu warga UPSI dalam menghasilkan penulisan artikel dengan lebih berkesan pada masa akan datang.