Johor Bharu: Sinergi antara organisasi Kinesiology of Excellent (Kinescore)dan Majlis Sukan Negeri (MSN) Johor telah dilaksanakan bagi menjayakan Bengkel Suaian Fizikal Sukan GRIT di Kota Iskandar Puteri, Johor Bharu.
Bengkel ini bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan memberikan pendedahan kepada jurulatih berkenaan dengan Strength and Conditioning. Bengkel yang mendapat sambutan hangat dalam kalangan jurulatih dan berlangsung selama tiga hari bermula pada 3 hingga 5 November di Somerset Medini dan The Cage, Nusa Duta, Johor Bharu, Johor.
Penyampaian secara teori dan juga praktikal telah dilaksanakan bagi memudahkan peserta untuk mengaplikasikan teknik dengan lebih baik. Sesi teori dan praktikal ini disampaikan oleh Profesor Dr. Nur Ikhwan Mohamad dan Dr. Mohd Hafizuddin Baki dari Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan, UPSI.
Salah seorang peserta, Arvin Nizam Abdul Rahman, Jurulatih Karate (Mersing, Johor) berkata “Sebelum bengkel ini dilaksanakan, pengetahuan tentang sesuatu latihan adalah asas yang perlu dilakukan dalam masa yang panjang untuk mendapatkan kesan yang optimum. Namun setelah mengikut seminar ini, dapat dilihat bahawa dengan aktiviti yang kurang juga dapat menghasilkan kesan terbaik. Panel menerangkan isi-isi penting secara ringkas dan santai serta mudah difahami.”
Manakala, Syasya Amir, Jurulatih Renang (Muar, Johor) berkata “Program yang dianjurkan sangat berbaloi. Penyampaian secara teori dan pratikal yang diberikan oleh Prof. Ikhwan dan Dr. Hafizudin sangat membantu saya dalam latihan suaian fizikal terhadap atlet renang yang berumur bawah 12 tahun,15 tahun dan 18 tahun. Maklumat yang disampaikan sangat membantu saya dalam membuat analisis data atlet saya untuk menilai tahap kondisi badan sebelum, semasa dan selepas mereka bangun pagi dan sepanjang aktiviti atlet tersebut berlangsung. Dengan adanya laman sesawang yang diberikan oleh Prof Ikhwan juga memudahkan saya membuat analisis terhadap atlet”.
Majlis penutupan dan penyampaian cenderahati kepada penceramah telah disempurnakan oleh Penolong Pengarah Seksyen Prestasi Tinggi dan Sains Sukan, Mohammad Syafiq Hassan.