Oleh: Nik Sabariah Nik Abdullah (Sarjana Pendidikan Awal Kanak-Kanak)

TANJONG MALIM – Mahasiswa Sarjana Pendidikan Awal Kanak-Kanak (PAKK) yang diketuai oleh Vikneshwaran Bashkar selaku pengarah program dibantu ahli jawatankuasa seramai 35 orang telah mengadakan program Seminar Pedagogi Bermain: Impak Pedagogi Bermain dalam Persekitaran Awal Kanak-kanak bertempat di Bilik Seminar Aminuddin Baki, UPSI pada 14 Januari yang lalu.

Program seminar yang terdiri daripada 56 orang pelajar jurusan Diploma dan Ijazah Pendidikan Awal Kanak-kanak, UPSI ini merupakan salah satu tugasan bagi subjek Pembelajaran Awal Kanak-kanak dan Pedagogi Bermain di bawah seliaan Prof Madya Dr Abdul Halim Masnan.

Program seminar ini diadakan bertujuan untuk memberi pendedahan kepada para peserta tentang kepentingan dan kesan pengaplikasian pedagogi bermain terhadap perkembangan kanak-kanak. Seminar ini juga untuk memberi peluang kepada peserta untuk menambah ilmu pengetahuan dengan mengemukakan persoalan kepada ahli panel berkaitan dunia sebenar kanak-kanak.

Dr Seah Siok Peh, Ketua Jabatan Pendidikan Awal Kanak-kanak, UPSI turut berbesar hati bagi merasmikan program seminar ini. Turut hadir juga tiga orang panel jemputan yang berpengalaman dalam bidang PAKK iaitu Intan Azlina Abdullah, Mantan Pensyarah Bidang Pendidikan Awal Kanak-kanak, IPG Kampus Sultan Abdul Halim, Nor Nabila Maulad Haris Fadillah, Pengusaha Kids Zone Childcare Centre dan Shahida Wati Abdul Hamid, Guru Subjek Asuhan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak (APAK).

“Kejayaan murid bergantung kepada kejayaan teknik guru mengajar kanak-kanak, pendidik PAKK mestilah menggunakan teknik yang betul dalam mendidik. Ia penting untuk seorang pendidik pandai menjentik hati kanak-kanak dalam mendidik mereka,” kata Puan Intan Azlina Abdullah. Beliau turut berkongsi bermain ialah satu aktiviti di mana kanak-kanak menunjukkan keupayaan luar biasa mereka untuk penerokaan, imaginasi dan membuat keputusan.

Nor Nabila Maulad Haris Fadilah juga menyokong penyataan tersebut bahawa seorang pendidik perlulah sentiasa kreatif dan rajin untuk melakukan aktiviti kepada kanak-kanak mengikut domain iaitu fizikal, kognitif, bahasa dan perkembangan sosial. “Kanak-kanak sering mengalami perubahan yang ketara bagi setiap prkembangan mereka. Ia turut di bantu dengan kreativiti pendidik dalam melaksanakan aktiviti pedagogi bersama kanak-kanak,” ujar beliau.

Ciri-ciri pendekatan pedagogi bermain sambil belajar turut dikongsikan oleh Shahida Wati Abdul Hamid antaranya berorientasikan kanak-kanak yang mana setiap aktiviti bermain disesuaikan dengan tahap perkembangan dan minat kanak-kanak. Ibu bapa perlu melibatkan diri dalam pemahaman kaedah bermain dan memberi sokongan dan maklum balas kepada pendidik serta perlu memahami keunikan setiap ondividu kanak-kanak dan memberi perhatian kepada keperluan kanak-kanak. Selain ibu bapa, pendidik juga perlu berkomunikasi secara aktif dengan ibu bapa untuk menyelaraskan pendekatan pedagogi bermain di tadika dan di rumah.

Melalui perkongsian daripada para panel program seminar ini diharapkan dapat mencapai objektif program yang telah ditetapkan serta membuka mata para mahasiswa yang hadir agar dapat mengaplikasikan maklumat yang dipelajari pada masa yang akan datang.