Oleh: Syarfa Aliah Syaiful Azhar (Pelajar PAKK) & Nadia Shahira Amiruddin (Pensyarah PAKK)

TANJONG MALIM- Pembelajaran digital merupakan salah satu inisiatif pihak kerajaan sejak tahun 2017 dalam menjayakan transformasi digital dan menyediakan generasi yang fasih digital. Tidak dapat disangkal lagi, Pembelajaran digital ini mempunyai banyak manfaat terutamanya kepada ibu bapa, guru-guru dan generasi muda kini. Selain maklumat yang mudah diakses dan bersifat syumul, pembelajaran digital juga dapat menjimatkan kos pembelian bahan bantu mengajar guru-guru sekolah. Pelbagai aktiviti pembelajaran yang interaktif dari pelbagai sumber dapat diwujudkan selaras dengan perkembangan semasa anak-anak.

Bbagi merealisasikan hasrat kerajaan dalam mengubah era pendidikan ke arah yang lebih maju, pensyarah Jabatan Pendidikan Awal Kanak-kanak Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah mengambil alternatif untuk mengadakan bengkel  Digital Storytelling and Creative Play buat julung kalinya untuk memupuk generasi pendidik yang fasih digital sejurus menggerakkan sistem pendidikan negara setanding dengan negara maju yang lain.

Bengkel yang berlangsung pada 25 Januari Dewan Kuliah Pusat UPSI melibatkan seramai 140 orang pelajar pendidikan awal kanak-kanak. Objektif yang disasarkan sepanjang bengkel berlangsung adalah untuk membuka peluang kepada mahasiswa membina bahan sastera  digital secara hands on, memberi pendedahan kepada pelajar tentang teknik pergerakan kreatif yang terkini serta diselitkan dengan teknik penceritaan kamishibai. Kesemua input ini disampaikan oleh 4 panel yang terdiri daripada Pensyarah di Jabatan Pendidikan Awal Kanak-kanak,Fakulti Pembangunan Manusia (FPM), UPSI dan Samsul Khamariah Hamzah atau lebih dikenali sebagai Ummi Sham, pencerita profesional di bawah naungan Malaysia Board on Books for Young People (MBBY).

Slot pertama bersama Ummi Sham, beliau berkongsi satu teknik cerita yang dibawakan khas daripada Jepun iaitu Kamishibai. Kamishibai merupakan satu teknik bercerita yang diaplikasikan oleh rakyat Jepun dengan tujuan untuk memberi semangat kepada orang-orang yang terkesan dengan peperangan. Teknik ini dikatakan berkesan dan mempunyai pelbagai genre untuk diaplikasikan. Memetik kata-kata daripada Ummi Sham sewaktu bengkel, ‘Teknik Kamishibai ini merupakan suatu perkara yang baharu kepada kanak-kanak, they are so engrossed because of the story and technique’. Katanya, penggunaan Butai (kotak yang digunakan untuk bercerita) juga menjadikan sesuatu jalan penceritaan itu unik dan seronok.

Slot kedua pula diisi teknik perisian dan aplikasi bahan penceritaan digital yang disampaikan oleh pensyarah JPAKK iaitu Dr. Albaree. Dalam penyampaiannya, beliau berkongsi aplikasi-aplikasi yang boleh pelajar gunakan untuk membina bahan penceritaan yang digital kepada kanak-kanak. Antara aplikasi-aplikasi yang boleh digunakan oleh pelajar secara percuma ialah storyjumper, book creator, starfall, monkey stories, e-book Perpustakaan Negara Malaysia, canva dan chatGPT.  Beliau juga menyarankan pelajar untuk membina bahan penceritaan sendiri mengikut kreativiti masing-masing supaya dapat menarik minat kanak-kanak untuk lebih seronok belajar. 

Slot ketiga pula disampaikan oleh panel ketiga, Farhana Nohrin yang juga merangkap sebagai pensyarah  kursus muzik dan pergerakan kreatif dalam program Pendidikan Awal kanak-kanak UPSI. Beliau telah berkongsi teknik asas lakonan dan juga teknik asas vokal yang seharusnya dikuasai oleh pelajar sebelum melakukan pergerakan kreatif. Menurutnya, ‘apabila kita berlakon, kita mesti ada ekspresi muka yang sesuai dengan watak dan keadaan’. Justeru, beliau juga telah memilih beberapa orang pelajar untuk melakonkan sketsa spontan berdasarkan watak dan perwatakan yang diberi.

Slot keempat pula diakhiri dengan slot pembinaan bahan penceritaan menggunakan aplikasi Roblox yang disampaikan oleh Nadia Shahira Amiruddin. Teknik bercerita merupakan satu teknik yang penting dalam pembelajaran kanak-kanak, namun begitu, penggunaan bahan bantu mengajar juga memainkan peranan dan semestinya mampu mendorong kanak-kanak untuk belajar. Beliau telah berkongsi cara untuk mencipta permainan sendiri melalui aplikasi Roblox dan memasukkan konten penceritaan yang sesuai dengan kanak-kanak. Menurutnya, para pendidik seharusnya mempunyai pemikiran yang  inovatif dan kreatif serta disarankan agar mencari sumber yang boleh mendorong minat kanak-kanak untuk belajar dan seiring dengan trend semasa. Oleh itu, permainan Roblox menjadi pilihan terbaik untuk para pendidik mencipta bahan penceritaan digital kerana Aplikasi Roblox merupakan permainan popular dalam kalangan kanak-kanak. Malangnya, terdapat sesetengah daripada  permainan Roblox mengandungi unsur negatif kepada kanak-kanak. Bagi mengelakkan perkara tersebut, pembinaan bahan penceritaan yang digital melalui aplikasi Roblox ini sangat penting, masih sama dengan minat mereka cuma mengandungi pengisian yang lebih bermanfaat.

Melalui Bengkel Digital Storytelling and Creative Play, mahasiswa UPSI terutamanya pelajar diploma pendidikan awal kanak-kanak akan mendapat kemahiran dan mengasah potensi dalam penggunaan method pembelajaran digital dan meluaskan lagi pengetahuan tentang pembinaan bahan penceritaan digital. Memetik kata-kata daripada Saidina Umar Al-Khattab, didiklah anak-anakmu itu berlainan dengan keadaan kamu sekarang kerana mereka telah dijadikan tuhan untuk zaman yang bukan zaman engkau. Seminar ini juga secara tidak langsung dapat membuktikan kepada pelajar bahawa kepentingan mempunyai pemikiran yang kritis, kreatif dan inovatif dapat menjadikan sesuatu sesi pembelajaran lebih seronok dan bermakna.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)