Oleh: Bazli Razak
Tanjong Malim- Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menandatangai surat niat (LoI) bersama Universiti Al-Iraqia bagi menjalin kerjasama terutama dalam bidang akademik dan penyelidikan
Majlis yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Fakulti Sains dan Matematik (FSM) UPSI itu menerima delegasi daripada Universiti Al-Iraqia serta Kedutaan Iraq.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UPSI, Prof Dr. Suriani Abu Bakar berkata hubungan antara UPSI dengan istitusi pendidikan terutama dari Iraq adalah sangat bermakna dalam memacu sektor pendidikan bersama.
“Melalui kepakaran dan kekuatan dari kedua-dua pihak, kita berupaya memulakan projek penyelidikan, meningkatkan kualiti pendidikan dan menyumbang kepada kemajuan pengetahuan dan inovasi di negara kita sendiri.
“UPSI komited untuk memupuk perkongsian global dan melibat diri dengan institusi yang dihormati seperti Al-Iraqia University bagi mewujudkan persekitaran akademik yang dinamik,” ujar beliau.
Sementara itu, Timbalan Naib Presiden Hal Ehwal Saintifik, Universiti Al-Iraqia, Prof Dr. Khamis Awad Zidan berkata mereka teruja untuk menjalinkan kerjasama bersama UPSI.
“Melalui inisiatif penyelidikan bersama, program pertukaran pelajar dan fakulti atau projek akademik kolaboratif akan mengukuhkan dan menyumbang kepada penambahbaikan institusi kami,” katanya.
Majlis kunjungan rasmi ini juga menyaksikan sesi perkongsian maklumat daripada Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RMIC) dan Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK).
Turut hadir sama Pengarah, Akademik & Antarabangsa, Prof Madya Dr. Ridzwan Che Rus; Pengarah, Jabatan Strategik, Prof Dr. Azmi Mohamed; Dekan, Institut Pengajian Siswazah, Prof Dr. Raja Nor Safinas Raja Harun; Dekan Fakulti Sains dan Matematik, Prof Madya Dr. Mohd Faizal Nizam Lee Abdullah; Dekan Fakulti Pembangunan Manusia, Prof Madya Dr. Abdul Talib Mohamed Hashim.