Oleh: Nor Ezatul Wahida Zahariman

Tapah, Perak: Kelab Rakan Alam Sekitar (RAS), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganjurkan program pendidikan alam sekitar melalui Program ‘One Planet to Share’ bersama murid sekolah Orang Asli di Sekolah Kebangsaan Batu 14, Tapah, Perak pada 6 Julai lalu.

Program berkonsepkan didik hibur ini ditaja oleh Suruhanjaya Kebangsaan Unesco Malaysia (SKUM) dan merupakan anjuran bersama Malaysia Association for Aerosol and Air Quality Research (MAAQR), dan Fakulti Sains dan Matematik (FSM), UPSI.

Program ini melibatkan seramai 30 orang fasilitator yang terdiri daripada pelajar Ijazah Sarjana dan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan, serta tiga orang pensyarah pengiring dari Jabatan Biologi FSM.Tujuan utama program ini adalah membantu memupuk sikap murid Orang Asli terhadap kesedaran alam sekitar termasuk pemahaman mengenai pentingnya menjaga alam sekitar untuk generasi akan datang.

Program ini diketuai oleh Nur Ain Bajuri selaku pengarah program dari Kelab RAS dengan bantuan dan tunjuk ajar dari Penasihat Kelab, Profesor Madya Ts. Dr. Nurul Bahiyah Abdul Wahid. Program ini dimulakan dengan sesi senamrobik untuk memanaskan badan dan menyemarakkan semangat para peserta.

Program diteruskan dengan aktiviti didik hibur melibatkan enam stesen, di mana murid-murid dibahagikan kepada enam kumpulan dan bergerak secara berfasa. Di Stesen 1, peserta didedahkan mengenai bahaya pencemaran udara, kemudiannya di Stesen 2, peserta diajar mengenai kepentingan penjagaan bumi melalui amalan kitar semula dan pengkomposan.

Seterusnya di Stesen 3, peserta didedahkan tentang bahaya penebangan hutan tanpa kawalan terhadap keseimbangan bumi melalui permainan dam ular gergasi. Di Stesen 4 pula, peserta diberi pendidikan awal mengenai pencemaran bunyi dan langkah-langkah mengatasinya. Peserta turut didedahkan mengenai alat pengukur bunyi yang sering digunakan di makmal. Stesen 5 pula memperkenalkan murid kepada mikroorganisma dan pencemaran air yang boleh membahayakan kesihatan manusia, dan stesen 6 membolehkan murid membuat taman miniatur untuk pengalaman praktikal menanam tumbuhan sendiri.

Setelah selesai aktiviti didik hibur di enam stesen, acara kemuncak diteruskan dengan sesi penyerahan dan tanaman pokok teh kepada pihak sekolah sebagai usaha kelestarian berterusan. Sesi penyerahan dan tanaman anak pokok teh di kawasan sekolah telah dilaksanakan oleh Penasihat Kelab RAS, Profesor Madya Ts. Dr. Nurul Bahiyah Abd Wahid bersama Penolong Kanan Pentadbiran SK. Batu 14, Puan Sarina Metuhu. Menurut penasihat RAS, penyerahan pokok teh kepada pihak sekolah untuk ditanam adalah sebagai simbol kelestarian terhadap alam sekitar yang perlu dijaga setiap masa.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)