Oleh: Muhammad Iman Muhamat Noh, Siti Nur Aqilah Abu Tahir & ChM. Dr. Aisyah Mohamad Sharif

TANJONG MALIM – Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkongsi kepakaran pendidikan di Karnival STEM SMK Proton City 24 Julai lalu. Program anjuran FSM dengan kerjasama Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC). Program ini diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Proton City yang melibatkan 11 pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Kimia (AT13) sebagai fasilitator, di bawah bimbingan penasihat program, Dr. Aisyah Mohamad Sharif.

Program ini mempamerkan aktiviti yang menggabungkan tiga konsep elektrokimia seperti konsep sel elektrolisis yang menggunakan kepekatan elektrolit yang berbeza. Pelajar berpeluang menguji kehadiran gas hidrogen dan gas oksigen dengan menggunakan ujian kayu uji berbara dan menyala. Pameran kedua memfokuskan teori kadar tindak balas kimia menggunakan voltan yang berbeza, iaitu 3V dan 9V. Kadar tindak balas diukur melalui kadar penghasilan gas hidrogen yang terhasil.

Aktiviti ketiga pula adalah berkaitan konsep sel kimia daripada bahan semulajadi seperti tomato dan kentang. Sayuran yang dipilih digunakan sebagai medium elektrolit untuk menghasilkan arus elektrik apabila dua logam berbeza digunakan sebagai elektrod dan bersambung dengan multimeter. Logam yang digunakan termasuk paku, kerajang aluminium, dan wayar kuprum, menunjukkan bagaimana bahan harian boleh mencetuskan fenomena elektrokimia. Melalui perkongsian ini juga, pelajar difahamkan dengan kimia hijau yang bertujuan untuk menggalakkan pembelajaran teori kimia menggunakan bahan organik dan mesra alam selaras dengan matlamat pembangunan mampan ke-15.

Pelajar SMK Proton City kelihatan terpegun terhadap penerangan dan demonstrasi yang diberikan yang membantu mereka memahami konsep elektrokimia dengan lebih jelas secara praktikal. Seorang pelajar SMK Proton City dengan penuh semangat berkata, “Saya kini lebih faham bagaimana sel elektrolisis dan sel kimia berfungsi dalam kehidupan seharian. Ini sangat menarik dan memberikan saya perspektif baru tentang kimia.”

Menurut Dr. Aisyah, tujuan utama program ini adalah untuk memberi pendedahan dan pemahaman mendalam kepada pelajar mengenai aplikasi elektrokimia dalam kehidupan seharian. Konsep utama yang ditekankan adalah sel elektrolisis dan sel kimia, dengan penekanan kepada konsep kepekatan tinggi, kepekatan rendah, dan kadar tindak balas. Beliau berharap program sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang, kerana ia bukan sahaja memberikan manfaat akademik kepada pelajar tetapi juga membantu mereka melihat aplikasi praktikal ilmu yang dipelajari dalam kehidupan seharian.

Komitmen Sekolah Menengah Kebangsaan Proton City dan Universiti Pendidikan Sultan Idris dalam usaha memajukan pendidikan sains dan matematik seiring dengan Dasar 60:40, Sains Tulen dan Sastera. Melalui program-program berbentuk karnival STEM dan pendedahan praktikal seperti ini dapat menyokong perkembangan akademik pelajar dengan penuh dedikasi dan semangat dalam melahirkan generasi masa depan sebagai tenaga pakar dalam aliran sains dan teknologi. Fakulti Sains dan Matematik sentiasa komited dalam menjadi peneraju kebitaraan pendidikan sains negara.