Oleh: Bazli Razak
Tanjong Malim- Satu majlis ramah mesra diadakan bagi meraikan Pasukan Para Olahraga Olimpik yang akan mewakili Malaysia ke Sukan Paralimpik Paris 2024 bermula 28 Ogos hingga 8 September.
Majlis yang diadakan di Scholar’s Suite UPSI itu bertujuan untuk meraikan atlet Para Olahraga (Sprinters) Malaysia yang bertungkus lumus menjalani program latihan fasa akhir di UPSI bagi persediaan ke temasya Sukan Paralimpik Paris 2024.
Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata bahawa UPSI sentiasa menghargai jasa mereka yang berjuang mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.
“Saya bangga atas pencapaian atlet Para Malaysia kerana terpilih mewakili negara ke Sukan Paralimpik seperti sukan olahraga, badminton, memanah, renang dan powerlifting.
“UPSI akan sentiasa komited dalam usaha membantu memajukan sukan negara menerusi kemudahan fasiliti sukan dan kepakaran dalam bidang Sains Sukan di sini,” katanya.
Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Prof Dr. Abdul Rahim Razalli dan Pengarah Pusat Sukan UPSI, Encik Mohammad Faeez Mohamad Alias.
Terdahulu seramai 29 atlet sah akan mewakili Malaysia di Sukan Paralimpik Paris 2024 menerusi jawatankuasa pemilihan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) pada 20 Julai lalu.