Oleh: Nur Atika Safika Idris
PUTRAJAYA– Program Trailblazer Saujana Hijau anjuran Pusat Ulul Albab (PUA) bersama Kelab Sahabat Ulul Albab (KeSUA) melibatkan 39 peserta pada 6 Julai lalu bertujuan mendedahkan peserta kepada keadaan Tadabbur alam sekitar dan cara beradaptasi dengannya. Selain itu, peserta juga dapat memupuk ukhuwah dan kerjasama berpasukan melalui pelbagai aktiviti yang dijalankan.
Terdapat tiga slot utama dalam program ini, iaitu Slot Sains dan Al-Quran, Slot Tadabbur Alam, dan Slot Finding Star. Dalam Slot Sains dan Al-Quran, Amir Noor Hezam Amir Edaham dijemput untuk mengendalikan sesi tersebut dan menceritakan tentang perkaitan antara sains dan al-quran. Slot ini memberi manfaat besar kepada peserta kerana mereka dapat merenung kebesaran Allah SWT melalui ciptaan-Nya serta meningkatkan ketaqwaan dan keimanan mereka.
Slot seterusnya, Tadabbur Alam, memberi impak positif kepada setiap peserta. Melalui aktiviti ini, peserta dapat memperdalamkan hubungan dan penghayatan terhadap keindahan alam serta keajaiban ciptaan Allah. Peserta dibahagikan kepada empat kumpulan dan menjalankan aktiviti di sekitar Taman Saujana Hijau.
Program ini berakhir dengan Slot Finding Star yang dijalankan di beberapa lokasi terpilih di Kuala Lumpur seperti Berjaya Times Square dan Bukit Bintang. Setiap kumpulan berada di tempat berbeza dan bergerak bagi menyebarkan dakwah kepada orang ramai di kawasan yang ditetapkan.
Penasihat Program, Nor Hayati Aziz, berharap program ini memberikan pengalaman berharga serta menjadi pengalaman transformasi yang mendorong individu untuk membangun sikap yang lebih peduli dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar serta menghargai keajaiban yang ada di alam semesta ini.