Oleh: Nur Umairah Nur Muazam dan Arif Ashraf Roslan
Tanjong Malim – Setiap saban tahun sudah menjadi adat UPSI menerima wajah-wajah baharu anak-anak diploma yang bakal menjadi generasi baru dalam bidang pendidikan.
Program Orientasi Pelajar baharu peringkat universiti yang mana dianjurkan bagi mengalu-alukan kehadiran mereka sebagai anak kandung ibu suluh budiman
Justeru, melalui Program Orientasi Pelajar Baharu, Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) yang dikenali fakulti kayangan mengambil peluang ini untuk meraikan 92 orang pelajar baharu ambilan Julai 2024 ini melalui kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Persatuan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak (DPAKK) dengan mengadakan sesi pengenalan tentang fakulti bersama pelajar baharu yang bertempat di dewan kuliah pusat, Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS).
Objektif utama pelaksanaan Program Orientasi Pelajar Baharu ini adalah memberi ruang dan peluang kepada pelajar baharu untuk mengenali Fakulti Pembangunan Manusia dan juga Jabatan Pendidikan Awal Kanak-kanak (PAKK) dengan lebih dekat.
FPM Padu dan Mantap merupakan Tagline yang sentiasa diucapkan untuk menjadikan sebuah fakulti yang disegani dalam bidang pendidikan yang meliputi pelbagai program pendidikan termasuklah bidang PAKK.
Program Orientasi Pelajar Baharu ini dimulakan dengan taklimat daripada Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), FPM iaitu Profesor Madya Dr. Abdul Halim Masnan bagi mewakili Dekan Fakulti Pembangunan Manusia.
Selain taklimat tentang selok belok fakulti, beliau turut berkongsi kepada pelajar baharu tentang kejayaan alumni UPSI yang mencatat sejarah dan sumbangan sebagai anak kandung suluh budiman.
UPSI juga telah banyak melahirkan tokoh dan para ilmuwan yang cemerlang serta gemilang. Ini dapat dibuktikan dengan kedudukan Universiti Pendidikan Sultan Idris meningkat dari tahun ke tahun dalam kedudukan universiti sedunia serta dalam Asia.
Ini menunjukkan UPSI telah memberikan impak yang besar dalam melahirkan graduan yang hebat sehingga mampu memberikan impak positif yang tinggi, kata beliau. “ Kami sentiasa menantikan kehadiran anda setiap tahun”, tambahnya lagi.
Program diteruskan lagi dengan perkongsian daripada Timbalan Dekan Jaringan Industri dan Pengkomersialan (JIP), FPM iaitu Dr. Normashitah Mohd Radzi tentang skop tugasan bagi beliau yang mana jawatan tersebut merupakan jawatan yang baru diwujudkan dalam beberapa hari yang lalu.
Beliau menyatakan hasrat untuk melahirkan generasi yang mempunyai kemahiran dari pelbagai aspek yang bukan sahaja sebagai pendidik bahkan keusahawanan, perniagaan, perakaunan dan sebagainya”.
Beliau juga akan membimbing pelajar-pelajar yang berminat bagi mengembangkan lagi potensi dan bakat mereka dalam kemahiran yang mereka ceburi”.
Seterusnya, sesi pengenalan bersama Jabatan Pendidikan Awal Kanak-Kanak (JPAKK) yang disampaikan oleh Ketua Jabatan Pendidikan Awal Kanak-kanak iaitu Dr. Seah Siok Peh.
Selaku ketua jabatan, Dr Seah memperkenalkan barisan pensyarah PAKK seterusnya memberi nasihat kepada anak-anak Diploma dalam menjaga nama baik jabatan, fakulti dan universiti dengan baik.
Selain itu, amalan 3S iaitu Senyum, Salam, Sapa ditekankan kepada pelajar dalam melahirkan mahasiswa/i yang cemerlang dari aspek 2A, Akhlak dan Akademik.
Manakala Penyeralas Program Diploma iaitu Cik Nadia Shahira Amiruddin memberikan taklimat mengenai struktur pengajian yang perlu diambil oleh pelajar-pelajar baharu ini dengan 92 jam kredit lulus dalam tempoh 2 tahun pengajian Diploma.
Ucapan beliau juga menekankan kepada pelajar agar sentiasa lebih peka dengan apa juga tarikh dan makluman daripada pensyarah dan Bahagian Akademik terutama dalam menyiapkan tugasan yang diberikan, menjaga attitude sebagai seorang pelajar UPSI.
Program Orientasi Pelajar Baharu FPM diakhiri dengan slot bersama Persatuan DPAKK menerusi taklimat daripada Penasihat Persatuan iaitu Puan Norrulkamari Daud tentang organisasi dan aktiviti persatuan.
Selain itu juga turut ditayangkan video korporat Persatuan DPAKK bagi sidang 2024/2025 sebagai tarikan kepada pelajar baharu untuk menjadi salah seorang dalam ahli organisasi persatuan.
Sambutan yang sangat baik daripada pelajar-pelajar baharu ambilan Julai 2024. Selain itu, beberapa aktiviti juga turut dilaksanakan bersama ahli persatuan sebagai fasilitator bersama pelajar-pelajar baharu dengan pengisian Ice Breaking untuk memberi ruang kepada mereka mengenali antara satu sama lain dan juga mengenali FPM melalui aktiviti Faculty Tour iaitu melawat beberapa ruang di fakulti seperti Micro Teaching Lab, STEM lab, Smart Creative Lab, Student Lounge, Pedagogy Lab and Edutoys Lab. dan beberapa lagi kawasan sekitar blok FPM, KSAS.
Keseronokan dan keterujaan jelas terpancar pada wajah-wajah pelajar baharu Diploma PAKK sebagai salah seorang anak kandung suluh budiman. Tahniah diucapkan kepada semua pelajar baharu ambilan Julai 2024 !