Oleh: Noraida Othman (NCDRC)

Tanjong Malim, 11 Januari 2024 – Hello Microbes 8.0 anjuran UPSI dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) mendapat sambutan yang meriah dengan penglibatan lebih 120 kanak-kanak dari Tadika Bitara, NCDRC UPSI. Program yang telah memasuki tahun kelapan penganjurannya telah dijalankan di Dewan Jauhar NCDRC dan Makmal Pembelajaran Biologi, Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melibatkan 86 orang fasilitator yang terdiri daripada mahasiswa FSM dan 30 orang mahasiswa Ijazah Sains Pengurusan Perkhidmatan Makanan dari Fakulti Sains Makanan dan Teknologi, Universiti Putra Malaysia.

Program pemindahan ilmu ini adalah sebahagian daripada projek SULAM kursus-kursus yang terlibat di Fakulti bertujuan memberi peluang kepada mahasiswa berkaitan kaedah penyampaian kandungan pembelajaran kepada komuniti khususnya kanak-kanak.

Hello Microbes 8.0 turut memberi pendedahan kepada kanak-kanak untuk mempelajari ilmu berkaitan dengan pemakanan sihat  dan juga aktiviti penghasilan produk tenusu yang membantu dalam pertumbuhan kanak-kanak. Terdapat pelbagai aktiviti dan pendekatan menarik yang disediakan oleh fasilititor untuk memudahkan maklumat disampaikan kepada kanak-kanak mengikut kesesuaian peringkat pengetahuan mereka.

Nurmasyitah Auni Abdul Rahim, ketua kumpulan mahasiswa UPM menyatakan rasa bangga akan kolaborasi yang memberikan manfaat kepada masyarakat berkaitan sains dan teknologi. “Kami amat berterima kasih kepada Jabatan Biologi, FSM  khususnya kerana memberi peluang untuk kami berkolaborasi dengan mahasiswa UPSI bagi sama-sama menjayakan program pada tahun ini. Tugasan kali ini sangat mencabar kerana ini merupakan kali pertama kami mengendalikan aktiviti yang melibatkan kanak-kanak dengan jumlah yang begitu ramai. Namun dengan bantuan dan bimbingan yang berikan program ini berjaya dilaksanakan dengan jayanya,” katanya.

Kanak-kanak yang menyertai program ini berpeluang menggunakan alat radas di dalam makmal sepenuhnya serta pelaksanaan aktiviti yang dirancang dan disusun telah dijalankan secara hands on yang melibatkan semua bidang perkembangan kanak-kanak secara umumnya.

Selain kerjasama dengan universiti luar, penganjuran program kali ini juga melibatkan pihak industri iaitu syarikat MUULK Sdn. Bhd, sebagai penaja utama produk susu dan juga Malaysian Society for Microbiology yang memberikan tajaan geran Microbiology Community Outreach 2023 bagi pelaksanaan program Hello Microbes 8.0.

Ketua Penasihat Program Dr. Hamidah Idris (Pensyarah dari Jabatan Biologi, FSM) menjelaskan bahawa Hello Microbes 8.0 adalah bertujuan memberi pendedahan sebenar kepada kanak-kanak tentang bagaimana sains dapat menghasilkan makanan atau produk yang berkualiti dan mampu memberi manfaat kepada kehidupan harian kita.

“Pendedahan awal diberikan agar kanak-kanak khususnya dapat memahami sains dan teknologi sebagai medium keberhasilan sesebuah produk yang berkualiti. Keperluan sains dalam kehidupan harian perlu dijelaskan agar suatu saat nanti, kita akan lahirkan generasi yang celik sains dan teknologi serta bakal saintis untuk negara kita,” katanya.

Tambahnya lagi, “Program ini juga dapat melatih mahasiswa untuk memberi tunjuk ajar berkaitan sains menggunakan pelbagai kaedah yang sesuai dengan pelanggan mereka. Penglibatan kanak-kanak dalam Hello Microbes kali ini pastinya memberikan sesuatu yang baru kepada mahasiswa UPSI dan UPM untuk sentiasa bersedia dengan teknik yang kreatif sekaligus mempersiapkan mereka menjadi seorang bakal guru yang memberi warna dalam bidang pendidikan negara.”

Pengarah NCDRC, Prof Madya Dr Mazlina Che Mustafa menyatakan bahawa NCDRC sentiasa membuka ruang kepada semua pihak yang ingin bekerjasama dalam aktiviti yang melibatkan pendidikan dan perkembangan kanak-kanak. “Penglibatan kanak-kanak dalam industri pendidikan terutamanya dalam bidang sains dan teknologi sangat memberi kesan yang besar . Pendekatan ini akan menggalakkan kanak-kanak untuk lebih gemar meneroka perkara yang baru sehingga ianya memberikan pengalaman dan pengetahuan yang bermakna dalam hidup mereka,” ujarnya.

UPSI akan terus komited dalam meneraju pendidikan terbaik terutamanya dalam bidang sains dan matematik serta pendidikan awal kanak-kanak. Jalinan kerjasama antara UPSI dan pihak industri membuktikan lagi bahawa UPSI sentiasa memberikan yang terbaik dalam menyediakan perkhidmatan, pendidikan, penyelidikan, mobiliti serta jalinan industri yang mampu membawa potensi besar dalam meningkatkan mutu pendidikan negara.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)